Russia nafi bunuh orang awam

Ukraine mendakwa menemukan 410 mayat di bandar berhampiran Kyiv ketika siasatan ke atas kemungkinan jenayah perang oleh Russia, tetapi beberapa saksi dikatakan trauma dengan pengalaman pahit mereka sehingga enggan bercakap, kata pendakwa raya tertinggi negara itu pada Ahad (3 April).

Selepas Russia berundur dari beberapa kawasan di sekitar Kyiv, datuk bandar di Bucha, sebuah bandar yang terletak kira-kira 37 kilometer barat laut ibu negara itu, berkata 300 penduduk dibunuh oleh tentera Russia ketika pejuang Chechnya mengawal kawasan itu.

Russia bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa tenteranya membunuh orang awam di Bucha.

Moscow berkata tidak ada penduduk yang mengalami sebarang keganasan daripada tentera Russia dan menuduh Kyiv membuat apa yang dilemparkan sebagai provokasi yang ditularkan kepada media Barat.

Pendakwa raya Ukraine hanya dapat memasuki bandar Bucha, Irpin dan Hostomel buat pertama kali pada Ahad dan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menentukan tahap jenayah, kata Pendakwa Raya Iryna Venedyktova.

“Kami perlu bekerjasama dengan saksi,” kata Venedyktova. “Penduduk hari ini sangat tertekan sehingga mereka tidak dapat bercakap secara fizikal.”

Katanya 140 daripada mayat telah diperiksa setakat ini tetapi beliau akan meminta Kementerian Kesihatan menyediakan seramai mungkin pakar forensik ke hospital lapangan di wilayah Kyiv.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mendakwa ratusan penduduk awam dibunuh dan diseksa.

Menurutnya adalah jelas Barat akan mengenakan satu set sekatan baharu ke atas Russia, namun tidak mencukupi.

Menteri Dalam Negeri Denys Monastyrskiy berkata adalah jelas bahawa beratus-ratus orang awam telah terbunuh, tetapi beliau tidak mahu menyatakan dengan tepat jumlahnya, kerana usaha masih dijalankan untuk membersihkan kawasan yang ditanam dengan periuk api.

“Ramai penduduk tempatan dianggap hilang. Kami tidak dapat memberikan angka yang tepat, tetapi terdapat ramai orang,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR