
Presiden Russia Vladimir Putin.
Presiden Vladimir Putin memberi amaran Russia akan bertindak balas sekiranya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengerahkan tentera dan infrastruktur di Finland dan Sweden selepas kedua-dua negara itu menyertai pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat (AS).
“Dengan Sweden dan Finland, kami tidak mempunyai masalah yang kami hadapi dengan Ukraine. Mereka mahu menyertai NATO, teruskan,” kata Putin kepada televisyen negara Russia selepas perbincangan dengan pemimpin serantau di negara bekas Soviet di Asia Tengah, Turkmenistan.
“Tetapi mereka mesti faham tidak ada ancaman sebelum ini, manakala sekarang, jika kontinjen dan infrastruktur ketenteraan NATO ditempatkan di sana, Russia perlu bertindak balas dengan cara yang sama dan mencipta ancaman yang sama ke atas wilayah dari mana ancaman terhadap Russia dicipta.”
Beliau berkata adalah tidak dapat dielakkan bahawa hubungan Moscow dengan Helsinki dan Stockholm akan menjadi buruk susulan penyertaan kedua-dua negara itu ke dalam NATO.
“Semuanya baik-baik saja di antara kami, tetapi sekarang mungkin ada beberapa ketegangan, pasti akan berlaku. Ia tidak dapat dielakkan jika terdapat ancaman kepada kami,” katanya Putin.
Putin membuat kenyataan itu sehari selepas anggota NATO, Turki menarik balik kuasa vetonya ke atas tawaran Finland dan Sweden untuk menyertai pakatan tentera itu selepas ketiga-tiga negara bersetuju untuk melindungi keselamatan satu sama lain.
Langkah itu bermakna Helsinki dan Stockholm boleh meneruskan permohonan mereka untuk menyertai NATO, menandakan peralihan terbesar dalam keselamatan Eropah dalam beberapa dekad.
Putin menambah bahawa objektif apa yang Moscow panggil “operasi ketenteraan khas” di Ukraine kekal tidak berubah, dan matlamatnya adalah untuk “membebaskan” wilayah Donbas timur Ukraine serta mewujudkan keadaan yang mampu memastikan keselamatan Russia.
Beliau berkata tentera Russia telah mara di Ukraine dan campur tangan tentera berjalan seperti yang dirancang.
Tidak perlu, katanya, menetapkan tarikh akhir untuk menamatkan perang itu. – Agensi