Russia mula serang Ukraine

Beberapa siri letupan mula kedengaran sebelum subuh tadi di ibu negara Ukraine, Kyiv, dan bandar lain di sepanjang barisan hadapan negara itu dengan Russia, setelah Presiden Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan dimulakan.

Laporan media antarabangsa juga mengatakan letupan berlaku di Pelabuhan Black Sea di Odessa, ketika siren polis dan ambulans kedengaran di bandar Ukraine itu.

Letupan juga dilaporkan berlaku di Kharkiv, bandar terbesar terletak kira-kira 35 kilometer di selatan bersempadan dengan Russia.

Empat letupan kuat kedengaran di Kramatorsk, sebuah bandar barisan hadapan yang berfungsi sebagai ibu kota kerajaan Ukraine untuk zon perang di timur, dan lebih banyak lagi kedengaran di bandar pelabuhan timur Mariupol, kata wartawan AFP.

Russia menyasarkan infrastruktur ketenteraan, pertahanan udara dan tentera udara Ukraine dengan senjata berketepatan tinggi dan tidak menyerang bandar-bandar Ukraine, agensi berita RIA Russia memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Russia.

Ukraine menutup ruang udaranya kepada pesawat awam, dan Menteri Luar Dmytro Kuleba menulis tweet bahawa negaranya sedang menghadapi “pencerobohan berskala penuh”‘.

Garis masa perselisihan Ukraine-Russia

Daripada kumpulan askar Russia yang ditempatkan di sepanjang sempadan pada November tahun lalu hingga Putin mengumumkan operasi ketenteraan pada Khamis (24 Feb), berikut adalah garis masa ketegangan berbulan-bulan di sekitar Ukraine.

Pergerakan tentera

10 November 2021: Washington melaporkan pergerakan tentera Russia yang luar biasa berhampiran sempadan Ukraine.

28 November 2021: Ukraine berkata Russia sedang mengumpulkan hampir 92,000 tentera untuk serangan pada akhir Januari atau awal Februari. Moscow menafikan perkara ini dan menuduh Kyiv membina kekuatan ketenteraan sendiri, menuntut “jaminan undang-undang” bahawa ia tidak akan sekali-kali menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Tuntutan Moscow

7 Disember 2021: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengancam rakan sejawatannya dari Russia, Putin dengan “langkah ekonomi yang kukuh dan lain-lain” jika dia menyerang Ukraine. Bagaimanapun 10 hari kemudian, Moscow mengemukakan cadangan untuk mengehadkan pengaruh AS dan NATO ke atas Ukraine.

Lonjakan tentera di Belarus

17 Januari 2022: Tentera Russia mula tiba di negara bekas Soviet, Belarus untuk latihan ketenteraan, yang menurut Moscow bertujuan “mengagalkan pencerobohan luar”. Dua hari kemudian, Washington mengumumkan tambahan AS$200 juta bantuan keselamatan kepada Ukraine.

NATO siap siaga

24 Januari: NATO meletakkan tentera bersiap sedia dan menghantar kapal serta jet pejuang untuk memperkukuh pertahanan di timur Eropah. Keesokan harinya, Moscow memulakan latihan ketenteraan yang melibatkan kira-kira 6,000 tentera dan sekurang-kurangnya 60 jet pejuang di selatan Russia berhampiran Ukraine dan di Crimea yang diduduki secara haram oleh Moscow.

26 Januari: Washington enggan menutup pintu NATO berhubung permohonan Ukraine dan pakatan tentera itu berkata banyak tuntutan keselamatan Moscow adalah “tidak realistik”. AS berkata mereka percaya Putin “akan menggunakan kekuatan tentera antara sekarang dan pertengahan Februari”.

28 Januari: Putin berkata Barat telah mengabaikan “kebimbangan asas Russia” mengenai perluasan kuasa NATO dan mempunyai “sistem senjata berhampiran sempadan Russia”.

Gerakan di Belarus

2 Februari: AS menghantar 3,000 tentera untuk memperkuat tentera NATO di timur Eropah.

10 Februari: Russia dan Belarus memulakan 10 hari gerakan dan latihan ketenteraan.

Berundur atau pengukuhan?

15 Februari: Moscow berkata beberapa pasukannya kembali ke pangkalan mereka. Tetapi NATO tidak melihat tanda-tanda penarikan diri dan Washington mendakwa Russia sebenarnya menghantar bala bantuan tambahan.

Tembakan artileri

17 Februari: Tembakan semakin hebat di sepanjang barisan hadapan dua wilayah yang disokong Russia di timur Ukraine. Sehari kemudian, pemimpin wilayah pemisah Donetsk dan Luhansk berkata mereka sedang memindahkan penduduk ke Russia.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken menuduh Moscow melakukan “provokasi palsu” untuk mewajarkan “pencerobohan” lanjut terhadap Ukraine.

Serangan akan berlaku

19 Februari: Ukraine berkata dua askarnya maut dalam serangan di barisan hadapan dengan pemisah yang disokong Russia.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mencadangkan pertemuan dengan Putin, ketika Moscow menguji peluru berpandu berkeupayaan nuklear.

Russia “di ambang” menyerang Ukraine, kata Washington.

Sidang kemuncak Putin-Biden?

21 Februari: Perancis mengatakan bahawa Putin dan Biden pada dasarnya telah bersetuju untuk satu sidang kemuncak. Tetapi White House sangat berhati-hati dan Kremlin berkata ia terlalu awal.

Tentera Russia berkata ia telah membunuh lima individu pensabotaj yang menyeberang ke Russia dari Ukraine. Ukraine menafikan dakwaan itu.

Perancis dan Jerman menyeru rakyat mereka untuk meninggalkan Ukraine.

Putin iktiraf republik pemisah

22 Februari: Dalam ucapan di televisyen, Putin mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah pemisah Donetsk dan Luhansk di timur Ukraine. EU berikrar mengenakan sekatan.

Putin mengarahkan tentera Russia memasuki kawasan pemisah dalam misi “menjaga keamanan”.

Beberapa jam kemudian semasa sesi tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB dan kebanyakan ahlinya mengecam keputusan Russia.

Washington berkata ia akan mengenakan sekatan baharu ke atas Russia.

EU juga akan menerima pakai sekatan, kata ketua dasar luar blok itu Josep Borrell.

Moscow berkata Menteri Luar Russia Sergei Lavrov masih bersedia untuk berbincang dengan Blinken, yang dijadualkan bertemu di Geneva pada Khamis.

Putin mengumumkan operasi ketenteraan

24 Februari: Putin dalam ucapan menerusi televisyen mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine. Dia menyeru askar Ukraine untuk meletakkan senjata mereka, mendakwa dia mahu “membebaskan” negara bekas Soviet tetapi bukan pendudukannya.

Letupan kedengaran tidak lama kemudian di Kyiv dan bahagian lain di Ukraine.

Pengumuman Putin mencetuskan kemarahan Biden, yang memberi amaran tentang “kehilangan nyawa yang besar”. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR