Russia keluar dari Majlis Hak Asasi PBB setelah keanggotaan digantung

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (7 April) menggantung Russia daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) kerana laporan mengenai “pelanggaran dan penyalahgunaan hak asasi manusia yang kasar dan sistematik” di Ukraine, mendorong Moscow mengumumkan negara itu keluar daripada UNHRC itu.

Desakan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) menyaksikan 93 negara menyokong, manakala 24 menolak dan 58 negara berkecuali. Majoriti dua pertiga ahli mengundi dalam Perhimpunan Agung 193 anggota di New York – tidak berkecuali – diperlukan untuk menggantung Russia daripada 47 anggota UNHRC yang berpangkalan di Geneva.

Bercakap selepas pengundian itu, Timbalan Duta Besar Russia ke PBB, Gennady Kuzmin menyifatkan langkah itu sebagai “tindakan yang tidak sah dan bermotifkan politik” dan kemudian mengumumkan bahawa Russia telah memutuskan untuk keluar daripada UNHRC.

“Anda tidak menyerahkan peletakan jawatan anda selepas anda dipecat,” kata Duta Besar Ukraine untuk PBB Sergiy Kyslytsya kepada pemberita.

Rusia berada di tahun kedua dalam tempoh tiga tahun sebagai anggota UNHRC. Di bawah resolusi pada Khamis, Perhimpunan Agung kemudiannya boleh bersetuju untuk menamatkan penggantungan itu.

Tetapi ia tidak akan berlaku lagi sekarang setelah Russia keluar dari majlis berkenaan, sama seperti yang dilakukan AS pada 2018 atas apa yang dipanggil berat sebelah terhadap Israel dan kekurangan pembaharuan.

Ttahun lepas AS dipilih semula ke majlis itu.

Penggantungan oleh badan dunia itu jarang berlaku. Libya digantung pada 2011 kerana keganasan terhadap penunjuk perasaan oleh tentera yang setia kepada pemimpin ketika itu Muammar Gaddafi.

Duta Besar AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield berkata PBB “menghantar mesej jelas bahawa penderitaan mangsa dan mereka yang terselamat tidak akan diabaikan.”

“Kami memastikan pelanggar hak asasi manusia yang berterusan dan teruk tidak akan dibenarkan menduduki kerusi kepimpinan hak asasi manusia di PBB,” katanya, dalam ucapan yang akan disampaikan kepada Perhimpunan Agung pada Khamis.

UNHRC tidak boleh membuat keputusan yang mengikat secara sah. Keputusannya menghantar mesej politik yang penting, dan ia boleh membenarkan penyiasatan. Bulan lalu majlis itu membuka siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak, termasuk kemungkinan jenayah perang, di Ukraine.

Resolusi pada Khamis adalah yang ketiga diterima oleh Perhimpunan Agung 193 anggota sejak Russia menyerang negara jiran Ukraine pada 24 Februari lalu. Dua resolusi Perhimpunan Agung sebelum ini yang mengecam Russia telah diterima pakai dengan 140 undi menyokong.

Selepas berkecuali pada dua undian Perhimpunan Agung sebelumnya, rakan kongsi Russia, China menentang resolusi itu menggantung Russia.

“Langkah tergesa-gesa di Perhimpunan Agung, yang memaksa negara-negara untuk memilih pihak, akan memburukkan lagi perpecahan di kalangan negara anggota dan memperhebat konfrontasi antara pihak-pihak berkenaan – ia seperti menjirus minyak ke dalam api,” kata Duta Besar China untuk PBB Zhang Jun sebelum undian.

Teks Perhimpunan Agung pada hari Khamis menyatakan “kebimbangan yang mendalam terhadap hak asasi manusia dan krisis kemanusiaan yang berterusan di Ukraine,” terutamanya pada laporan pencabulan hak oleh Russia. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR