Russia kecam tindakan Zionis Israel serang Masjidil Aqsa, rakyat Palestin

Russia sebuah negara Kristian Ortodoks bersama beberapa negara Islam mengutuk serangan tentera rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis semalam.

Kementerian Luar Russia dalam kenyataan hari ini berkata tindakan rejim Israel itu menimbulkan kebimbangan Moscow selain mengubah wilayah Gaza menjadi ‘penjara di bawah langit terbuka’.

Memetik laporan agensi berita Turki, Anadolu, Kremlin juga membidas sokongan Israel supaya Russia digantung daripada menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertu buhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian Luar Russia berkata rejim Zionis Israel menggunakan situasi di Ukraine bagi mengalih perhatian dunia terhadap isu Palestin.

“Seperti diketahui umum, setelah pelbagai pelanggaran dibuat terhadap keputusan Majlis Keselamatan (PBB) dan Perhimpunan Agung PBB, rejim Israel masih meneruskan pendudukan haram di wilayah Palestin.

“Keadaan itu telah mengakibatkan lebih 2.5 juta rakyat Palestin di Tebing Barat Sungai Jordan diusir ke kawasan terpencil dan terputus dari dunia luar.

“Semenanjung Gaza pada dasarnya telah menjadi ‘penjara terbuka,’ hingga memaksa dua juta rakyatnya bertahan di bawah sekatan laut, udara dan darat Israel hampir 14 tahun,” menurut kementerian itu.

Sekurang-kurangnya 205 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera rejim Zionis Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa, Gerbang Damascus di Bandar Lama dan di daerah Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur, semalam (15 April 2022).

Russia juga menegaskan pendiriannya bahawa rampasan tanah dan harta yang terletak di atasnya, serta kewujudan penempatan oleh Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Tindakan sedemikian adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan menghalang penyelesaian aman berdasarkan kewujudan dua negara – Palestin dan Israel,” katanya.

Polis dan askar Zionis menyerang umat Islam di dalam Masjid Al-Aqsa ketika mereka sedang menunaikan solat Tarawih. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR