Roket jarak dekat dilancar Korea Utara, ketegangan semakin tinggi

Beberapa roket jarak dekat didakwa dilancar Korea Utara hari ini sehingga menimbulkan kebimbangan negara jiran yang juga seteru negara Komunis itu, Korea Selatan.

Media antarabangsa melaporkan tindakan terbaharu Korea Utara itu menimbulkan ketegangan yang semakin tinggi, ia walaupun senjata tersebut kurang mendapat perhatian berbanding peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang dimiliki mereka.

Ketua Kakitangan Bersama Korea Selatan berkata, pihak tentera memantau perkembangan terkini dan sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga.

“Pagi ini terdapat beberapa tembakan pelancar roket dilepaskan di Korea Utara.

“Sebanyak empat tembakan dilepaskan Korea Utara sekitar pukul 7.20 pagi selama sejam menyasarkan pantai barat dari lokasi yang tidak diketahui di wilayah Pyongan Selatan,” katanya lapor Agensi Berita Yonhap.

Susulan itu, Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan mengadakan mesyuarat tergempar timbalan menteri mengenai pelancaran itu.

Tahun lalu, Korea Selatan meluluskan rancangan meneruskan sistem pemintasan artileri bernilai AS$2.6 bilion (RM10.9 bilion) menyerupai ‘Iron Dome’ milik Israel.

Senjata pertahanan itu direka bagi melindungi negara daripada senjata api dan roket jarak jauh Korea Utara.

Kira-kira separuh daripada 52 juta penduduk Korea Selatan tinggal di ibu kota Seoul dan kawasan sekitar yang berada dalam lingkungan senjata jarak jauh negara jiran.

BERITA BERKAIT
POPULAR