‘Robot ular’ baiki saluran paip di dasar laut

Industri minyak dan gas laut dalam mempunyai infrastruktur yang luas dan mahal untuk dijaga. Telaga minyak, peralatan, dan saluran paip beribu-ribu kilometer mesti dipasang, diperiksa dan diperbaiki.

Namun kini, penggunaan dron dan robot dasar laut yang lebih canggih sedang diperluaskan dan mampu menjadikan pekerjaan lebih mudah, murah dan kurang mencemari alam sekitar.

Antaranya ialah Eelume, ‘robot ular’ sepanjang enam meter dengan penderia dan kamera yang dipasang di kedua-dua hujungnya. Ia boleh diletakkan di kedalaman 500 meter selama enam bulan tanpa perlu dibawa naik ke permukaan.

Robot dengan pendorong diri itu mampu bergerak sehingga 20 kilometer sebelum perlu dicaj semula. Peralatannya boleh diubah-ubah mengikut kesesuaian tugas.

Sebelum ini, kerja-kerja penyelenggaraan di kebanyakan telaga minyak dan sistem saluran paip dasar laut sudah dilakukan oleh dron.

“Tetapi kenderaan ini biasanya perlu dihantar ke lokasi di luar pesisir dengan kapal yang lengkap dengan kemudahan kawalan dan kemudian dikendalikan dari jarak jauh.

“Itu akan menyebabkan kos kira-kira AS$100,000 sehari,” kata Ketua Pegawai Teknologi Eelume Subsea Intervention (ESI), Pal Liljeback.

Katanya, Eelume boleh ditempatkan terus di atas pelantar minyak dan digunakan pada bila-bila masa untuk melakukan pemeriksan di dasar laut, sekali gus menjimatkan kos penggunaan kapal.

“Dengan kawalan sama ada di pelantar atau di darat, Eelume boleh bergerak secara mandiri dan menghantar video serta data ke pusat kawalan.

“Reka bentuknya yang seperti ular membolehkannya bekerja di ruang tertutup dan menggoyangkan badannya agar tetap berada pada posisi tepat walaupun ketika arus kuat,” katanya.

Sementara itu, penganalisis berkata, pasaran robot dasar laut global dijangka bernilai AS$7 bilion pada 2025 menyebabkan banyak syarikat kini berlumba-lumba untuk mengkomersialkan rekaan masing-masing.

Syarikat Itali, Saipem, penyedia perkhidmatan untuk sektor minyak, tenaga dan kemudahan mencipta dron bawah air – Hydrone-R – yang boleh menyelam sehingga 3,000 meter untuk kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan.

Houston Mechatronics dari Amerika Syarikat pula membangunkan robot dasar laut, Aquanaut, sementara Sweden Saab Seaeye Falcon kini digunakan untuk melakukan pemeriksaan di ladang ternakan ikan di Chile. – Agensi

POPULAR