Ribuan penduduk Eropah bantah perintah berkurung, berdemonstrasi

Demonstrasi dari ribuan penduduk Eropah turun ke jalanan di York, Austria, Belanda dan Jerman untuk memprotes perlaksanaan perintah berkurung apabila benua itu berdepan semula dengan penularan varian baharu.

Menurut Daily Mail, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, sehingga kini tiada kes kematian melibatkan varian Omicron dilaporkan walaupun varian baharu itu sudah mula menular di 38 negara lain.

Namun, pemimpin dunia sudah mengambil langkah berjaga-jaga tambahan termasuk melaksanakan denda yang tinggi dalam usaha menggalakkan penduduk untuk mendapatkan suntikan vaksin lengkap.

Di Austria, bagi individu yang belum divaksin dan melanggar protokol perintah berkurung akan dikenakan denda sehingga 500 euro (RM2,392).

Manakala, bagi penduduk yang enggan mematuhi semakan status vaksinasi juga akan dikenakan denda sehingga 1,450 euro (RM6,939).

Selain itu, ribuan lagi penduduk di Vienna turut melakukan bantahan terhadap sekatan ke atas penduduk awam yang dilaksanakan untuk mencegah pandemik Covid-19.

Austria juga mengambil langkah pencegahan untuk mengawal jangkitan dari varian baharu ini apabila kembali berdepan dengan kenaikan kes harian Covid-19 dan menjadi negara pertama di Eropah Barat yang melaksanakan kembali perintah berkurung dan akan mewajibkan suntikan vaksinasi mulai Februari depan.

Ratusan penduduk berkumpul di bandar York, England bagi mengadakan ‘protes kebebasan’ di hadapan York Minster.

Sementara itu, di sekitar bandar Utrecht di Belanda, ribuan penduduk berkumpul untuk membantah sekatan Covid-19 baharu yang dikuatkuasakan sejak hujung minggu lalu.

Penduduk melakukan bantahan di sekitar jalan raya sambil membawa sepanduk bertulis ‘Medical Freedom Now’ sambil mengibarkan bendera Belanda dan sejumlah besar anggota polis turut kelihatan di sepanjang laluan perarakan itu.

Ramai penduduk membantah tindakan kerajaan Belanda yang mewajibkan protokol suntikan vaksinasi sekiranya penduduk di negara itu ingin menjalani kehidupan seperti biasa.

Demonstrasi besar-besaran itu merupakan yang pertama di Belanda untuk membantah sekatan penularan Covid-19 termasuk penutupan bar, restoran dan premis perniagaan pada waktu malam bagi mencegah kenaikan kes jangkitan dari varian baharu itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR