Ribuan penduduk dipindah, kilang plastik Thailand meletup, terbakar

Ribuan penduduk di pinggir Bangkok dipindahkan segera tatkala anggota bomba masih memadam kebakaran besar sebuah kilang plastik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, hari ini.

Letupan besar dan kebakaran di kilang itu turut mengorbankan seorang anggota penyelamat dan mencederakan lebih 27 pekerja.

Pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 70 rumah berhampiran kilang berkenaan turut rosak akibat letupan kuat di wilayah Samut Prakan awal pagi tadi. Bomba dikatakan mengambil masa sehingga 15 jam untuk mengawal kebakaran itu.

Kepulan besar asap hitam yang naik ke langit ini dapat dilihat sejauh 35 kilometer dari bandar manakala pihak penyelamat bertungkus lumus memindahkan beribu-ribu penduduk setempat yang tinggal dalam lingkungan lima kilometer dari lokasi kejadian.

Letupan itu berlaku sekitar jam 3 pagi waktu tempatan yang melibatkan Kilang Ming Dih Chemical Co yang berpangkalan di Taiwan.

Pegawai Daerah Bang Pli, Somsak Kaewsena berkata sekurang-kurangnya 27 orang cedera dengan kebanyakkan mereka mengalami luka manakala seorang anggota bomba terkorban di tempat kejadian.

Somsak memberitahu AFP penduduk telah dipindahkan ke dua tempat perlindungan manakala bagi warga tua yang berkerusi roda, mereka akan dipindahkan ke sekolah berdekatan yang jaraknya sekitar 9 kilometer.

Pihak Berkuasa Bencana Tempatan memaklumkan hampir 70 buah rumah dalam letupan itu.

Leftenan Jeneral Ampon Buarubporn berkata orang awam telah diperintahkan untuk menjauhkan diri dari kawasan tersebut sekurang-kurangnya dalam radius 500 meter di sekitar lokasi letupan.

Beliau juga menasihatkan orang awam supaya menjauhkan diri dari lokasi itu kerana bimbang kemungkinan ada bahan lain yang boleh mencetuskan letupan kali kedua.

Chailit Suwannakitpong, Pegawai Pencegahan Bencana Tempatan memberitahu agensi berita bahawa tangki besar yang mengandungi kimia monomer styrene di kilang tersebut terus terbakar.

Bahan kimia itu boleh menghasilkan gas beracun seperti styrene dan neurotoksin apabila terbakar serta dapat melumpuhkan dan membawa maut sekiranya tersedut gas itu pada jumlah yang tinggi. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR