
Saintis telah meramalkan kes baharu di United Kingdom akan melonjak semula susulan pemansuhan semua sekatan Covid-19 mulai 19 Julai 2021. - Gambar Getty
Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid memaklumkan semua remaja yang berusia 16 dan 17 tahun di England akan diberikan dos pertama suntikan vaksin Covid-19 mulai 23 Ogos mengikut sasaran yang telah ditetapkan.
Suntikan bagi golongan remaja akan diberikan dalam tempoh dua minggu ini untuk membina kekebalan maksimum bagi sistem tubuh badan mereka sebelum kembali ke sekolah pada September ini.
“Saya telah mengarahkan agensi Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) untuk memastikan golongan remaja yang berusia 16 dan 17 tahun ini diberikan dos pertama vaksin mulai Isnin depan, 23 Ogos.
“Ini bagi memastikan semua pelajar mendapat perlindungan penting sebelum kembali ke kuliah atau ke sekolah”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Britain telah merekodkan lebih daripada 130,000 kes kematian dalam tempoh 28 hari setelah hasil ujian disahkan positif Covid-19 dan negara itu telah menjadi negara kedua di Eropah yang mempunyai kes kematian tertinggi selepas Russia.
Namun, baru-baru ini, Perdana Menterinya, Boris Johnson telah melonggarkan sekatan Covid-19 di England kerana perlaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran telah dilakukan.
Beliau yakin dengan suntikan vaksin kepada rakyatnya dapat memutuskan rantaian jangkitan dan kemasukan ke hospital serta dapat mengurangkan kadar kematian.
Lebih daripada tiga perempat purata individu dewasa di Britain yang telah menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya dan hampir 89 peratus daripadanya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
Jabatan Kesihatan memaklumkan, pihak NHS England telah melancarkan carian baharu di laman webnya bagi memudahkan remaja 16 dan 17 tahun untuk mencari tempat suntikan vaksin yang terdekat. Laman web itu akan dikemaskini dalam beberapa hari lagi dan bagi beberapa minggu yang akan datang.
Menurut data kerajaan, semalam Britain merekodkan 29,520 kes jangkitan baharu Covid-19 dan 93 kematian dalam tempoh 28 hari setelah pesakit itu disahkan positif Covid-19.
Manakala Jumaat lalu, sebanyak 32,700 kes baharu dan 100 kes kematian yang telah dilaporkan. – Agensi