Rekod tertinggi di Thailand: Kes baharu 21,370, kematian 191

Kementerian Kesihatan Awam Thailand hari ini melaporkan 21,379 jangkitan baharu Covid-19 dicatatkan, sementara 191 pesakit lagi meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu.

Jumlah itu adalah angka harian tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara itu awal tahun lalu.

Angka terbaharu itu juga melonjakkan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 714,684 kes dan 5,854 kematian.

Jumlah tertinggi kes baharu dan kematian sebelum ini direkodkan pada Rabu lalu membabitkan 20,920 individu dengan 188 pesakit meninggal dunia.

Sementara itu, Hospital Chonburi melarang orang ramai mendapatkan rawatan di situ setelah 74 kakitangannya dijangkiti Covid-19 sejak lima hari lalu.

Chonburi adalah wilayah pinggir pantai di Teluk Thailand, timur negara itu, yang turut menempatkan pusat pelancongan terkenal Pattaya.

“Pihak hospital menggesa orang ramai tidak datang kecuali kes kecemasan, bagi mengelak mereka dijangkiti setelah 74 kakitangan positif Covid-19.

“Orang ramai boleh mendapatkan ubat masing-masing secara pos, dan dibenar untuk menjadualkan semula pertemuan dengan doktor,” kata kenyataan hospital itu hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR