Rekod dunia: 6.55 juta kes positif Covid-19 dalam seminggu

Dunia menyaksikan rekod baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh seminggu, tatkala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian Omicron boleh memberi risiko tinggi dan menjejaskan sistem kesihatan.

Varian yang paling pantas menular itu kini meningkatkan angka jangkitan di banyak negara, dan merekodkan peningkatan jangkitan global sebanyak 37 peratus bagi tempoh 22 Disember hingga 28 Disember lalu, berdasarkan perkiraan AFP.

Sebanyak 6.55 juta kes positif dikesan antara 22 dan 28 Disember, jumlah tertinggi sejak WHO mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada Mac 2020 lalu.

Peningkatan kes itu – paling teruk di Eropah – mendesak kerajaan beberapa negara untuk mengenakan semula sekatan ketat, termasuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, manakala China mengenakan ‘total lockdown’ di wilayan Xi’an.

Langkah ketat diambil bertujuan memastikan hospital tidak dibanjiri pesakit, selain mengekalkan pembukaan sektor ekonomi yang ditutup hampir setahun sejak akhir 2019 lalu.

Kajian menunjukkan Omicron, kini menjadi varian dominan di sesetengah negara, memberi jangkitan ringan yang tidak memerlukan kemasukan ke hospital, namun WHO kekal memberi amarannya.

“Risiko keseluruhan berkaitan varian baharu Omicron kekal sangat tinggi.

“Bukti yang konsisten menunjukkan bahawa varian Omicron mempunyai kelebihan menular berbanding varian Delta dengan masa penggandaan dua hingga tiga hari,” kata WHO.

Lebih 5.4 juta penduduk di seluruh dunia meninggal dunia akibat Covid-19, tetapi jumlah kematian menurun kepada purata 6,450 sehari pada minggu lalu, menurut pengiraan AFP, yang terendah sejak akhir Oktober 2020.

Sementara kes di Eropah mencecah 3.5 juta dalam tempoh tujuh hari lalu, dengan Britain, Perancis, Greece dan Portugal semuanya merekodkan angka baharu kes harian.

Perancis melanjutkan penutupan kelab malam selama tiga minggu lagi dan memberi bantuan kewangan bagi mengurangkan kerugian sektor perniagaan sepanjang tempoh Krismas dan Tahun Baru.

“Saya boleh bayangkan kesusahan untuk pekerja dan usahawan ini,” kata Menteri Pelancongan Jean-Baptiste Lemoyne kepada radio France Inter.

Ahli Parlimen Perancis mula membahaskan undang-undang baharu yang hanya membenarkan mereka yang diberi vaksin – tidak lagi menerima bukti ujian Covid-19 negatif – memasuki restoran, pawagam, muzium dan tempat awam lain.

Jerman, kuasa ekonomi terbesar Eropah, telah memaksa acara sukan diadakan secara tertutup dan menutup kelab malam, mengehadkan perhimpunan persendirian kepada 10 orang yang diberi vaksin atau dua isi rumah di mana orang yang tidak divaksinasi hadir. – AFP

BERITA BERKAIT
POPULAR