
Polis rejim Zionis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa di Palestin dan memukul umat Islam yang beribadat di dalamnya hari ini (5 April 2023).
Pertempuran meletus di dalam Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis awal hari ini (5 April 2023) apabila rejim Zionis Israel menyerang umat Islam yang sedang beribadat, dalam satu tindakan yang dikecam dan disifatkan sebagai “jenayah yang belum pernah berlaku sebelum ini” oleh Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).
Hamas, yang memerintah Semenanjung Gaza, menyeru rakyat Palestin di Tebing Barat “untuk pergi beramai-ramai ke Masjid Al-Aqsa bagi mempertahankannya”.
Perkarangan masjid di Kota Lama Baitulmaqdis timur yang dijajah rejim Israel sebelum ini telah menyaksikan pertempuran dan keganasan antara Palestin dan Israel, terutamanya ketika bulan Ramadan, yang menarik puluhan ribu jemaah ke Al-Aqsa.
Insiden awal pagi tadi mencetuskan bantahan di seluruh Tebing Barat, malah tentera rejim Zionis mendakwa sembilan roket ditembak dari Gaza ke arah Israel selepas bunyi siren kedengaran di bandar selatan. Dilaporkan sekurang-kurang empat roket terbabit dipintas, dan empat mendarat di kawasan terbuka.
Keganasan semakin meningkat di Tebing Barat serta Baitulmaqdis sejak tahun lalu, dengan ketegangan dikhuatiri terus memuncak bulan ini ketika umat Islam menjalani ibadah puasa dalam Ramadan yang mulia dan pada masa sama terdapat sambutan keagamaan Yahudi.
Menurut Palang Merah Palestin, tujuh rakyat Palestin mengalami kecederaan akibat tembakan peluru getah dan dipukul dalam pertempuran dengan polis Israel dalam kejadian itu, malah tentera rejim Zionis dikatakan menghalang pasukan perubatan daripada memasuki masjid berkenaan.
“Saya sedang duduk di atas kerusi sambil mengaji (al-Quran). Mereka melontar bom tangan dan satu daripadanya terkena dada saya,” kata seorang wanita warga emas kepada Reuters di luar masjid itu. Beliau dilihat semput dan cuba menarik nafas sebelum menangis.
Polis Israel dalam satu kenyataan pula mendakwa, mereka memasuki pekarangan masjid berkenaan kerana beberapa individu dikatakan perusuh bertopeng yang membawa mercun, kayu serta batu berada di dalam masjid dan menguncinya.
“Apabila polis masuk, mereka dibaling batu dan mercun dibakar dari dalam masjid oleh sekumpulan perusuh,” dakwa pihak Israel itu sambil memaklumkan bahawa seorang anggota polis mengalami kecederaan di kaki.
Kumpulan Palestin mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap jemaah, sekali gus menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai jenayah.
“Kita memberi amaran kepada penjajah supaya tidak melampaui garisan merah di tapak suci, yang akan membawa kepada ledakan (tindak balas) besar,” kata Nabil Abu Rudeineh, jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Dalam pada itu, Jordan dan Mesir turut mengeluarkan kenyataan mengecam insiden berkenaan. – Agensi