Rejim Zionis Israel lakukan jenayah bersistematik ke atas Palestin: OIC

Pertubuhan Kerjasama Islam mengadakan mesyuarat tergempar menteri-menteri luar negara anggota secara maya pada Ahad.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyifatkan biadab Israel terhadap Semenanjung Gaza yang masuk hari ketujuh berturut-turut sebagai ‘jenayah bersistematik’ ke atas rakyat Palestin, selain mendesak serangan itu dihentikan serta-merta

Kenyataan bersama OIC selepas mesyuarat tergempar menteri-menteri luar negara anggota secara maya dibuat susulan langkah Arab Saudi mengutuk pencabulan ke atas tanah suci umat Islam di Baitulmaqdis dan pengusiran rakyat Palestin dari kediaman mereka di Baitulmaqdis Timur.

Pada mesyuarat itu Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pertubuhan yang dianggotai 57 negara itu turut menuduh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebagai tidak berdaya menangani kemelut Israel-Palestin.

Terdahulu Malaysia, Indonesia, dan Brunei mengeluarkan kenyataan bersama secara berasingan pada Ahad, dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa diadakan mesyuarat tergempar PBB.

Arab Saudi, Bahrain, dan Emirate Arab Bersatu (UAE) juga menyerukan diadakan gencatan senjata.

Tahun lalu, UEA, Bahrain dan beberapa negara Arab lain mencetuskan kemarahan umat Islam apabila menjalin hubungan rasmi dengan rejim pengganas Israel.

Sejak Isnin lalu, rejim Zionis Israel membunuh sekurang-kurangnya 200 penduduk Palestin, termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita, terutama di Semenanjung Gaza, dalam pengeboman yang turut merosakkan infrastruktur Palestin.

Sementara itu Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyenaraikan enam cadangan kepada OIC dalam menangani penderitaan rakyat Palestin pada mesyuarat itu.

Hishammuddin dilaporkan berkata pertumpahan darah yang dilakukan ke atas rakyat Palestin perlu dihentikan, sementara kekebalan rejim Israel yang terus melakukan kekejaman dahsyat perlu ditamatkan dan mesti dipertanggungjawabkan.

Enam cadangan yang dikemukakan Hishammuddin ialah:

  • Mendesak Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengaku kegagalannya dan mengambil tanggungjawab mengekalkan keamanan dan keselamatan serta Israel dipaksa supaya patuh sepenuhnya semua tanggungjawabnya seperti yang sudah ditetapkan UNSC.
  • OIC perlu menggesa PBB menyediakan perlindungan antarabangsa di semua wilayah yang diduduki, sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa, terutama Konvensyen Geneva dan memastikan pertanggungjawaban ke atas semua pihak yang terbabit dalam konflik ini.
  • Masyarakat antarabangsa terutama negara anggota OIC perlu benar-benar memberikan tekanan terhadap Israel pada semua bidang, termasuk saluran perundangan, politik dan ekonomi. Menerusi saluran ini, Malaysia sudah bekerjasama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk serangan Israel ke atas Palestin.
  • Negara anggota OIC perlu mendesak masyarakat sivil seluruh dunia untuk meneruskan perjuangan mereka bagi menuntut pertanggungjawaban dan mengetengahkan pencabulan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang hak asasi dan kemanusiaan di wilayah Palestin yang diduduki.
  • Sambil menangani krisis semasa, komuniti antarabangsa perlu terus mencari penyelesaian muktamad terhadap konflik ini, termasuk segera menangani punca sebenar konflik serta kembali kepada proses damai hakiki ke arah menamatkan pendudukan Israel.
  • Malaysia menekankan kepentingan semua negara anggora OIC untuk terus bersatu dalam mendokong perjuangan Palestin kerana tanpa perpaduan, Ummah Islam akan terhumban ke arah perpecahan.

POPULAR