Rejim Israel hipokrit, gempur lagi jemaah solat Jumaat Masjidil Aqsa

Selepas beberapa jam bersetuju dengan gencatan senjata anjuran Mesir, rejim Zionis Israel kembali menunjukkan sikap hipokrit mereka apabila menggempur umat Islam yang bersolat Jumaat di Masjid Al-Aqsa hari ini.

Keganasan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin cedera, tetapi Persatuan Bulan Sabit Merah belum mengeluarkan angka rasmi.

Dalam kejadian tengah hari Jumaat, ratusan polis rejim Tel Aviv memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa yang terletak di wilayah yang diduduki mereka secara haram di Baitulmaqdis Timur.

Terdahulu, ratusan penduduk Islam di Baitulmaqdis Timur masuk ke pekarangan Masjid Al-Aqsa untuk solat Jumaat, serta meraikan gencatan senjata antara rejim Zionis Israel dan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) berkuat kuasa jam 2 pagi tadi.

Mereka kemudian cuba bergerak beramai-ramai dari Masjid Al-Aqsa ke bandar lama Baitulmaqdis, tetapi dihalang polis rejim Israel yang melepaskan bom asap dan bom pegun.

Susulan itu, Kementerian Luar Turki mengecam tindakan polis rejim Zionis dan menyifatkan Israel sebenarnya bersikap tidak ikhlas serta hipokrit terhadap gencatan senjata itu.

“Gencatan senjata di Semenanjung Gaza, serangan di Baitulmaqdis… Israel terus bersikap tidak ikhlas, hipokrit. Kekejaman ini yang mengehadkan kebebasan beragama dan kepercayaan mesti berakhir sekarang juga,” kata kementerian itu dalam Twitternya.

Sebelum ini gencatan senjata dicapai oleh rejim Israel dan Hamas, setelah kedua-dua pihak bertempur selama 11 hari yang menyaksikan lebih 232 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak dan 39 wanita, terbunuh manakala lebih 1,500 lagi cedera sejak 10 Mei lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula melaporkan sekurang-kurangnya 75,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal susulan serangan berterusan rejim pengganas Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Ketegangan tercetus susulan tindakan ganas dan agresif askar serta polis rejim itu di wilayah diduduki secara haram di Baitulmaqdis Timur, di mana ratusan rakyat Palestin digempur oleh pasukan keselamatan dan pendatang haram Yahudi di Masjid Al-Aqsa dan penempatan Sheikh Jarrah, pada 10 Mei lalu.

Ketegangan merebak dari Baitulmaqdis Timur ke Semenanjung Gaza selepas pejuang Palestin berikrar akan membalas serangan Israel sekiranya tidak dihentikan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR