Rancangan pendatang haram serbu Masjid Al-Aqsa besar-besaran gagal

Lebih 1,000 pendatang haram Israel menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa tatkala ketegangan memuncak terhadap rancangan menceroboh secara besar-besaran hari ini, lapor agensi berita Palestin.

Dalam kenyataannya, Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis berkata 1,210 pendatang haram Israel memacah masuk ke kompleks menerusi Gerbang al-Silsila dan Gerbang al-Magharib yang dikawal pasukan keselamatan rejim Zionis Israel (IDF), dan melakukan ritual keagamaan Yahudi.

Menurut saksi sekumpulan pendatang haram Israel pada mulanya menyerbu kompleks itu menerusi Gerbang Huta (Gerbang Pengampunan) dan Gerbang King Faisal, tetapi dihalang rakyat Palestin yang sedang beribadat Masjid Al-Aqsa.

Kumpulan pendatang haram Israel itu sebelum ini mengajak penyokongnya memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa secara besar-besaran untuk meraikan apa yang mereka gelar ‘hari pemusnahan kuil’ pada zaman purba.

Kumpulan Pergerakan Kedaulatan juga merancang satu perarakan di sekeliling tembok Bandar Lama Baitulmaqdis.

Masjid Al-Aqsa, masjid suci ketiga umat Islam, turut dikenali di kalangan penganut Yahudi sebagai ‘The Temple Mount’ yang mendakwa ianya adalah tapak bagi dua kuil mereka pada zaman purba.

Terdahulu, puluhan anggota IDF mula menyerbu pekarangan Al-Aqsa melalui pintu al-Silsila dan pintu al-Magharib sebelum menyerang umat Islam bagi membolehkan pendatang haram itu masuk.

Polis rejim Zionis turut melepaskan gas pemedih mata dan bom pegun ketika menghalau umat Islam keluar dari pekarangan masjid berkenaan.

Polis rejim Zionis juga menutup bangunan utama di dalam kawasan tanah suci itu menyebabkan ratusan umat Islam terkurung di dalamnya. Pada masa sama ratusan pendatang haram mula masuk ke pekarangan Masjid Al-Aqsa yang dikosongkan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR