Rakyat Malaysia, Korea Selatan berdepan ancaman Pyongyang?

Dr Sung-Yoon Lee

Seorang profesor Pengajian Korea di Universiti Tufts, Amerika Syarikat (AS), tidak menolak kemungkinan Pyongyang akan menyasar rakyat Korea Selatan dan warga tempatan di Malaysia, sebagai tindak balas Kuala Lumpur mengekstradisi ahli perniagaannya ke Amerika Syarikat (AS), minggu lalu.

Walaupun, Dr Sung-Yoon Lee, yakin tindak balas itu tidak akan dilakukan dalam masa terdekat, tetapi beliau percaya serangan siber adalah salah satu bentuk tindak balas oleh Pyongyang.

“Tetapi serangan dan pembunuhan pengganas konvensional tidak dapat diketepikan,” katanya dalam wawancara bersama This Week In Asia South China Morning Post.

“Sasaran senjata kimia seperti yang berlaku terhadap Kim Jong-nam di Malaysia mungkin tidak akan berlaku dalam waktu dekat, tetapi Korea Utara mungkin lebih terdorong untuk melakukan provokasi ringan, seperti melakukan penculikan dan bahkan pembunuhan terhadap warga Korea Selatan di Malaysia,” kata Lee.

Beliau juga mengatakan bahawa rakyat Malaysia atau warga Korea Selatan yang tidak bersalah diculik, mungkin tidak berlaku, sekurang-kurangnya buat masa ini, tetapi ianya tidak boleh diketepikan.

‚ÄúPada masa lalu, ada beberapa penculikan warga Korea Selatan dari Eropah. Oleh itu, seseorang tidak dapat menolak kemungkinan adanya penculikan atau pembunuhan warganegara Korea Selatan atau Malaysia pada masa akan datang, ” kata Lee memberi amaran.

Pada 1978, lima wanita – empat rakyat Malaysia dan seorang Singapura – hilang secara misteri setelah diundang ke pesta di atas sebuah kapal di pesisir perairan Singapura.

Ejen perisikan Korea Utara telah lama disyaki berada di belakang kehilangan mereka.

Pyongyang pada 2002 mengaku menculik 13 warga Jepun pada tahun 1970-an dan 80-an untuk membantu melatih perisiknya.

Minggu lalu, seorang ahli peniagaan Korea Utara diekstradisi dari Malaysia ke AS untuk berdepan tuduhan pengubahan wang haram, hingga menimbulkan kemarahan amat sangat Pyongyang, yang langsung memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur sambil memberi amaran bahawa Malaysia ‘harus memikul tanggungjawab penuh’ dan ‘menanggung akibatnya’.

Kemarahan Pyongyang itu sebahagiannya dijelaskan bahawa Mun Chol Myong, 55, adalah warga Korea Utara pertama yang diekstradisi ke AS, sekali gus berpotensi membuka jalan kepada lebih banyak tindakan sama akan diambil.

Malah, Penolong Pengarah Bahagian Tindak Balas Perisikan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Alan Kohler berharap ekstradisi ke atas Mun akan membuka jalan kepada lebih banyak warga Korea Utara yang akan dikenakan tindakan sama.

Namun, ada unsur lain yang mencetuskan kemarahan Pyongyang – Mun disyaki seorang perisik – dan Korea Utara bimbang keupayaan AS mendapat maklumat daripadanya, kata penganalisis.

Tindakan mengekstradisi Mun adalah kejadian terbaru yang menjejaskan hubungan Malaysia-Korea Utara, selepas digegarkan dengan pembunuhan saudara tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, di Kuala Lumpur, empat tahun lalu.

Jong-nam dibunuh oleh dua pembunuh wanita yang melumurkan agen saraf VX ke wajahnya, menyebabkan kematiannya.

Dengan peristiwa pembunuhan itu masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia, amaran Korea Utara mengenai ‘akibat’ kerana mengekstradisi Mun, telah mendorong Polis Diraja Malaysia untuk meningkatkan langkah keselamatan di beberapa lokasi sensitif.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis mengambil langkah berwaspada bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kejadian yang tidak diingini berlaku di negara ini, susulan kenyataan Korea Utara itu.

POPULAR