Rakyat Indonesia putus asa, oksigen kurang, ramai meninggal di rumah

Minanti dipaksa merawat bapanya yang mengalami masalah jantung serta ginjal di rumah disebabkan hospital dipenuhi dengan pesakit Covid-19.

Rakyat Indonesia sudah semakin putus asa. Ketika hospital sudah penuh dan tidak lagi mampu menampung pesakit, mereka pula terpaksa mencari bekalan oksigen sendiri untuk kegunaan keluarga yang terlantar di rumah akibat Covid-19.

Di Jakarta, ibu negara Indonesia, oksigen adalah komoditi yang semakin berharga ketika negara itu sedang memerangi lonjakan kes Covid-19 tanpa henti.

“Saya di sini untuk membeli tangki oksigen untuk ibu saya. Dia positif pada Ahad dan kami mencuba beberapa hospital tetapi semuanya penuh,” kata Pinta, sambil beratur menunggu giliran di sebuah kedai.

“Saya menerima senarai tempat yang menjual oksigen tetapi setiap tempat yang kami kunjungi ditutup atau kehabisan. Terima kasih Tuhan, rakan saya menyuruh saya datang ke sini.”

Mencari oksigen di Jakarta dalam beberapa minggu ini merupakan sesuatu yang sukar dan ia menentukan peluang hidup mati seseorang yang sedang sakit di rumah. Bergantung kepada nasib dan kebetulan mereka boleh membeli oksigen di kedai tertentu.

Seorang wanita lain, Winda memberitahu dia sedang mencari oksigen untuk kakak iparnya.

“Saya menghadapi masalah mencari oksigen sejak malam tadi. Saya telah pergi ke lima tempat, termasuk kedai ini dan kedai ubat terbesar tetapi semuanya kehabisan stok.

“Saya juga telah pergi ke pusat kesihatan dan dimaklumkan akan diberi bekalan oksigen sebelum pesakit itu dirujuk ke hospital. Tetapi saya telah menunggu selama dua hari dan tiada sebarang tindakan yang di ambil,” katanya.

Lain pula kisah bagi Minanti, yang menjaga ayahnya yang uzur di rumah. Dia cuba memasukkan ayahnya ke hospital tapi gagal kerana kebanyakannya sudah dipenuhi dengan pesakit Covid-19.

Jelasnya, ayahnya menderita penyakit diabetes dan dia juga mengalami masalah jantung serta ginjal yang menyebabkannya berisiko tinggi sekiranya terkena jangkitan Covid-19.

Katanya, pihak hospital juga memaklumkan oksigen telah habis.

“Hospital di wilayah lain juga penuh. Terdapat khemah di depan bangunan dan dipenuhi dengan orang sakit, saya berasa sangat takut,” katanya.

Kini, seperti ribuan rakyat Indonesia yang lain, Minanti memahami usaha untuk mendapatkan tangki oksigen ketika gelombang jangkitan ini melanda, sangat susah dan rumit kerana kekurangan stok di seluruh Indonesia.

Ketua Klinik Kesihatan Lemah Abang di Bekasi, Dr Erni Herdiani berkata, pihaknya memerlukan tangki oksigen, pengisian semula oksigen dan ubat-ubatan.

“Kami sedang berada dalam keadaan yang teruk dan kami memerlukan ubat seperti remdesivir. Kami juga peru memberikan oksigen dan ubat-ubatan kepada pesakit.

“Namun, kami kekurangan tangki oksigen dan ini di luar jangkaan saya. Begitu banyak pesakit memerlukan oksigen, malah keadaan ini menjadi semakin teruk sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Kebanyakkan hospital di Jawa dan daerah lain di Indonesia sudah penuh dan klinik kesihatan umum harus mengambil tindakan untuk menjaga ribuan pesakit yang masih tidak dapat dirawat di hospital.

Dr Erni dan pasukannya bukan sahaja berdepan kekurangan bekalan oksigen dan ubat-ubatan, tetapi keupayaan kakitangan berjumlah 30 petugas yang terpaksa menjaga lebih 300 pesakit, membebankan mereka.

“Kami sudah biasa mendengar berita di mana pesakit meninggal dunia di rumah sebelum dibawa ke pusat kesihatan.

“Kebanyakan yang meninggal di rumah disahkan dijangkiti Covid-19 setelah pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Hospital di seluruh negara itu juga kini dilaporkan berdepan masalah kekurangan bekalan oksigen. Minggu ini sahaja, sekurang-kurangnya 33 pesakit meninggal dunia di hospital akibat kehabisan bekalan oksigen.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Dr Siti Nadia Tarmizi berkata apa yang terjadi di Jogjakarta adalah kerana jumlah pesakit yang semakin meningkat dan mereka kehabisan bekalan oksigen. – Agensi

POPULAR