Rakyat Austria tolak vaksin dikurung

Austria meletakkan berjuta-juta rakyatnya yang tidak melengkapkan vaksinasi di bawah perintah berkurung mulai esok, dalam usaha menangani lonjakan jangkitan Covid-19 yang kini mencapai rekod baharu, kata Canselor Alexander Schallenberg, hari ini.

Eropah kini sekali lagi menjadi pusat pandemik Covid-19, mendorong beberapa kerajaan mempertimbangkan untuk mengenakan semula sekatan ketat dan perintah penutupan.

Sehingga kini, kira-kira 65 peratus penduduk Austria telah diberi vaksin sepenuhnya, salah satu kadar terendah di Eropah Barat. Ramai rakyat Austria ragu-ragu mengenai vaksin, pandangan yang disokong oleh Parti Kebebasan berhaluan kanan, yang ketiga terbesar di Parlimen negara itu.

Ketika Belanda menangani lonjakan jangkitan Covid-19 dengan mengenakan sekatan separa yang terpakai kepada semua, kerajaan pimpinan konservatif Austria berkata ia mahu mengelak daripada mengenakan sekatan lanjut kepada mereka yang telah diberi vaksin sepenuhnya.

“Kita mesti meningkatkan kadar vaksinasi. Kadar rendah itu memalukan,” kata Schallenberg pada sidang media mengumumkan peraturan baharu itu.

Mengikut peraturan itu, individu yang berusia 12 tahun ke bawah akan dikecualikan daripada perintah berkurung, di mana mereka yang tidak divaksin hanya dibenar keluar dari rumah dengan alasan kukuh seperti bekerja atau membeli barang keperluan.

Menteri Kesihatan Austria, Wolfgang Mueckstein berkara peraturan itu berkuat kuasa selama 10 hari pertama.

Ramai pegawai, termasuk dalam parti konservatif Schallenberg dan polis, menyatakan keraguan sekatan seperti itu boleh dikuatkuasakan dengan tepat kerana ia hanya terpakai kepada sebahagian daripada penduduk.

Bagaimanapun, Schallenberg dan Menteri Dalam Negeri, Karl Nehammer berkata polis perlu melakukan pemeriksaan menyeluruh dan ketat. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR