Putin berhasrat hadir ke persidangan G20 di Bali

Presiden Rusia Vladimir Putin berhasrat untuk menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang bakal berlangsung di Bali, Indonesia hujung tahun ini dan menerima sokongan dari Beijing.

Menurut laporan media luar negara, Putin dikatakan bercadang meneruskan perancangan untuk hadir ke persidangan tersebut walaupun Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya sedang menilai sama ada Rusia harus kekal dalam kumpulan 20 negara ekonomi utama itu berikutan pencerobohan ke atas Ukraine.

Namun, sebarang langkah untuk mengecualikan Rusia mungkin akan diveto oleh ahli lain dalam kumpulan itu dan ia bakal mengakibatkan negara ahli lain tidak menyertai sidang kemuncak itu.

“Ia akan bergantung kepada banyak perkara, termasuk situasi Covid, yang semakin baik. Setakat ini, dia (Putin) adalah mahu (hadir),” kata Duta Besar, Lyudmila Vorobieva pada sidang akhbar.

Berhubung kemungkinan Rusia bakal disingkir daripada G20, beliau berkata ia adalah forum untuk membincangkan isu ekonomi dunia dan bukan krisis Ukraine.

“Sudah tentu pengusiran Rusia daripada forum seperti ini tidak akan membantu masalah ekonomi ini diselesaikan.

“Sebaliknya, tanpa Rusia adalah sukar untuk menyelesaikan masalah ekonomi,” katanya lagi.

Setakat ini, Chinatidak mengutuk pencerobohan Rusia dan mengkritik sekatan yang dikenakan Barat, disamping mempertahankan Moscow sebagai “ahli penting” G20.

BERITA BERKAIT
POPULAR