Putera Hamza Jordon lepas gelaran diraja, bantah dasar Raja Abdullah

Putera Hamza bin al-Hussein, bekas pewaris takhta Jordan yang diletakkan di bawah tahanan rumah tahun lalu, mengumumkan pada Ahad (3 April) beliau melepaskan gelaran dirajanya sebagai protes terhadap dasar semasa Jordan.

Hamza dituduh pada April lalu kerana cuba menggugat kestabilan monarki dalam plot yang diilhamkan pihak asing, tetapi terlepas daripada hukuman selepas berikrar taat setia kepada Raja Abdullah, abang tirinya.

Dalam surat yang disiarkan di akaun Twitternya, Putera Hamza berkata apa yang disaksikannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyukarkan beliau untuk menyokong dasar yang dilaksanakan oleh institusi Jordan.

“Saya telah membuat kesimpulan bahawa keyakinan peribadi dan prinsip yang diterapkan oleh bapa saya (Allahyarham Raja Hussein) tidak selaras dengan laluan, arahan dan kaedah moden institusi kita,” tulisnya.

Hamza, 42, dinamakan Putera Mahkota apabila Raja Hussein mangkat pada 1999 dan Abdullah menjadi raja, tetapi beliau hilang gelaran itu lima tahun kemudian apabila Raja Abdullah melantik anaknya sendiri sebagai pewaris.

Tahun lalu beliau diletakkan di bawah tahanan rumah selepas membuat tuduhan berhubung rasuah dan pemerintahan autoritarian. Perseteruan itu menggoncang imej Jordan sebagai wilayah stabil, tetapi tidak dapat diramalkan di Timur Tengah.

Seorang bekas ketua penasihat diraja dan seorang kerabat kemudian dijatuhi hukuman penjara 15 tahun kerana terlibat dalam dakwaan komplot untuk membawa Hamza mengambil alih takhta.

Hamza bulan lalu mengeluarkan permohonan maaf di mana dia berjanji tidak akan bertindak bertentangan dengan kepentingan pemerintah Jordan.

Kenyataannya pada Ahad adalah ringkas, mengatakan beliau akan terus berkhidmat di Jordan dalam kehidupan peribadinya, tanpa menyebut raja atau apa-apa peranan masa depan untuk dirinya sendiri.

Dikeluarkan pada hari pertama bulan suci Ramadan, ia diselitkan dengan istilah agama yang mungkin menarik minat kumpulan konservatif Jordan untuk menyokongnya.

Krisis tahun lalu mendorong kuasa besar Barat dan serantau untuk bersatu di belakang Raja Abdullah dalam memberi sokongan yang jarang berlaku sebelum ini. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR