
Orang ramai yang beratur di Pusat Suntikan Bang Sue di wilayah Chatuchak, Bangkok bagi mendapatkan suntikan vaksin tanpa mempedulikan penjarakan fizikal. - Gambar The Nation
Jangkitan Covid-19 di Thailand yang melepasi setengah juta kes semakin membimbangkan apabila 16,533 jangkitan baharu dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan, sejak wabak itu menular tahun lalu, kepada 543,361.
Dalam tempoh 24 jam, Pasukan Petugas Covid-19 Thailand juga melaporkan 133 kematian baharu, menjadikan jumlah mereka yang maut akibat virus itu meningkat kepada 4,397 pesakit sejak Mac tahun lalu.
Penularan Covid-19, terutama varian Delta meletakkan Thailand pada tahap yang membimbangkan kerana hampir seminggu negara itu melaporkan jangkitan harian melebihi 10,000 kes.
Semalam, pihak Kerajaan Thailand menyuarakan kebimbangan kemungkinan berlaku penularan baharu Covid-19 di pusat vaksinasi utama di Bangkok – Pusat Suntikan Bang Sue di wilayah Chatuchak – setelah ribuan penduduk menyerbu bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Pusat vaksinasi ini dibuka khusus kepada warga emas yang membuat temu janji dan penduduk dari wilayah lain yang telah membuat tempah lebih awal.
Mereka yang datang bagi mendapatkan suntikan vaksin termasuk dari wilayah Prachuap Khiri Khan, Samut Sakhon, Saraburi, Ratchaburi, Nakhon Pathom, Lop Buri, Chainat, Phichit dan Ang Thong.
Orang ramai beratur seawal pagi di pusat itu dan ada permohonan yang ditolak kerana tidak memenuhi kriteria vaksinasi.
Sebelum ini, pusat vaksinasi itu telah mengumumkan akan menangguhkan tarikh janji temu bermula esok dan hanya akan memberikan suntikan kepada mereka yang telah mendaftar melalui rangkaian mudah alih.
Sejak Isnin lalu, berita dan gambar pusat vaksinasi itu yang sesak tular di media sosial, menimbulkan kemarahan banyak pihak.
Namun, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha semalam memaklumkan bahawa khabar angin untuk menutup pusat vaksinasi bagi mengelakkan kesesakan orang ramai itu hanyalah berita palsu.
“Pusat vaksinasi Bang Sue akan terus beroperasi dan memberikan suntikan kepada orang ramai yang telah mendaftar di dalam talian sebelum ini,” katanya.
Kerajaan Thailand juga akan menetapkan semula lokasi baharu yang lebih selesa bagi melaksanakan program suntikan vaksinasi dan akan melakukan perjarakkan sosial untuk mengelakkan kesesakan orang ramai seperti yang berlaku di pusat itu. – Agensi