Pusat kesihatan di Indonesia berdepan kesukaran rawat pesakit Covid-19

Pesakit yang mengalami masalah pernafasan terpaksa menunggu di luar wad kecemasan di hospital yang dikendalikan kerajaan di Jakarta, Indonesia. - Gambar Reuters

Sebuah pusat kesihatan kecil di Jakarta Selatan kini berdepan limpahan pesakit susulan lonjakan jangkitan Covid-19 di kalangan warga setempat, kata doktor yang bertugas di situ, Cheras Sjarfi.

Katanya pusat kesihatan yang hanya dilengkapi peralatan asas kesihatan tidak bersedia menerima kemasukan pesakit Covid-19 baharu yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Namun, kakitangan pusat kesihatan itu terpaksa juga merawat pesakit yang datang walaupun kekurangan alat bantuan pernafasan dan unit rawatan rapi (ICU), katanya.

Bergelut dengan wabak terburuk itu, Indonesia semalam melaporkan kes harian tertinggi dengan 24,836 jangkitan baharu dan 504 kes melibatkan kematian.

Kenaikan kes menjadi lebih sukar apabila hampir keseluruhan hospital di Jawa kini mencapai 93 peratus kegunaannya pada minggu ini. Pemindahan pesakit yang kritikal ke hospital yang terletak di bandar juga semakin rumit.

Cheras Sjarfi berkata mereka bagaimanapun terpaksa menerima pesakit yang datang.

“Beri mereka oksigen, periksa tekanan darah mereka, dan beri rawatan untuk mereka,” katanya sambil menambah jika keadaan pesakit itu bertambah buruk, tidak mungkin hospital akan menerimanya.

“Kes yang terburuk apabila mereka mati di sini saya sangat sedih walaupun pernah melihat orang mati berkali-kali,” katanya.

Doktor wanita itu terpaksa bekerja syif 12 jam iaitu dua kali ganda daripada syif normal dan beberapa orang rakannya turut dijangkiti Covid-19 walaupun telah divaksin sepenuhnya.

Namun, di sebalik kekhawatiran itu, beliau berusaha untuk kekal berfikiran positif walaupun besar kemungkinan beliau juga boleh dijangkiti virus Covid-19.

Kerajaan Republik Indonesia kini melaksanakan perintah kawalan lebih ketat dengan mengenakan larangan pergerakan, penerbangan, makan di restoran dan menutup pejabat tidak penting. – Agensi

POPULAR