
Penduduk melakukan solat jenazah di luar ambulans yang membawa keranda dua mangsa Covid-19 sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Cipenjo di Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada 14 Julai 2021. - Gambar fail AP
Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) hari ini memaklumkan jumlah kematian yang tinggi akibat Covid-19 di seluruh negara itu sejak tiga minggu terakhir ini, adalah hasil daripada kes terkumpul yang tidak dilaporkan sebelum ini.
Jurucakap Pasukan Petugas Covid-19 KKRI, Dr Siti Nadia Tarmizi memberi contoh jumlah kematian yang dilaporkan pada Selasa membabitkan 2,048 pesakit turut memasukkan kes terkumpul seminggu lalu yang tidak dilaporkan secara harian.
“Pada Selasa lalu, 2,048 kematian yang dilaporkan merupakan hasil tambahan dari kes pada minggu sebelumnya, dan 10.7 peratus daripadanya telah direkodkan sebagai kes yang disahkan lebih daripada 21 hari lalu.
“Terdapat data yang ditemui telah dikumpulkan selama beberapa hari atau seminggu malah ada yang selama beberapa bulan. Oleh itu, data tersebut menjadi kurang tepat untuk digunakan bagi menilai keadaan semasa Covid-19 di Indonesia,” katanya.
Bagaimanapun data kementerian itu kekal merekodkan purata kematian 1,500 kes sehari dalam tempoh tiga minggu lalu.
Sementara itu, KKRI memaklumkan negara itu merekodkan 1,579 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan kumulatif 112,198 kes.
Jumlah kematian tertinggi yang dilaporkan adalah di Jawa Timur membabitkan 431 pesakit Covid-19, diikuti Jawa Tengah (350), Jawa Barat (120), Kalimantan Timur (64) dan Riau (55).
Sementara itu, 30,625 kes baharu dilaporkan di seluruh negara itu dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan keseluruhannya 3,749,446 kes positif.
Jawa Tengah menjadi penyumbang tertinggi bagi kes aktif iaitu sebanyak 4,980 dan diikuti oleh Jawa Barat (3,174), Jawa Timur (2,885), Jakarta (1,967), Kalimantan Timur (1,843).
Melalui data kementerian, sebanyak 210,815 ujian saringan yang telah dilakukan semalam dan masih menunggu keputusan. – Agensi