
Ribut pasir berwarna oren meliputi tempat suci Imam Moussa al-Kadhim, di daerah Kadhimiya di Baghdad, pada 9 April 2022. - Gambar Reuters
Ribut pasir yang melanda sebahagian besar Iraq menyebabkan berpuluh-puluh orang terpaksa dimasukkan ke hospital setelah mengalami masalah pernafasan, kata jurucakap Kementerian Kesihatan pada Sabtu (9 April).
Ribut itu melanda utara negara itu pada Khamis, menyebabkan pembatalan penerbangan di Arbil, ibu kota wilayah autonomi Kurdistan, kata pihak berkuasa
Ketika ribut berwarna oren melanda wilayah selatan negara itu, ia turut menyelubungi Baghdad dan bandar-bandar yang lebih jauh, termasuk Nasiriyah.
Di ibu negara, bangunan dan kenderaan diselaputi habuk berwarna oker, lapor wartawan AFP.
Ribut pasir menyebabkan “berpuluh-puluh orang turut dimasukkan ke hospital di seluruh Iraq kerana masalah pernafasan,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan Iraq, Saif al-Badr.
Pengarah Jabatan Meteorologi Iraq, Amer al-Jabri, berkata walaupun ribut debu bukan perkara luar biasa di Iraq, ia menjadi lebih kerap disebabkan oleh kemarau, penggurunan dan hujan yang berkurangan.
Iraq amat terdedah kepada perubahan iklim, setelah menyaksikan rekod hujan terendah dan suhu tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pakar berkata faktor ini menyebabkan bencana sosial dan ekonomi di negara yang dilanda perang itu.
Pada November, Bank Dunia memberi amaran bahawa Iraq boleh mengalami kejatuhan 20 peratus dalam sumber air menjelang 2050 akibat perubahan iklim. – Agensi