
Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan meninggal dunia pada usia 73 tahun. - Gambar Reuters
Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, yang dasar pemodenannya membantu mengubah UAE menjadi kuasa serantau, meninggal dunia pada pada Jumaat (13 Mei 2022) pada usia 73 tahun, kata media kerajaan WAM.
“Kementerian Hal Ehwal Presiden bersama rakyat UAE, negara-negara Arab dan Islam, dan seluruh dunia berdukacita.
“Pemimpin negara, Presiden Yang Amat Mulia Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, meninggal dunia dan kembali ke sisi Tuhan hari ini, Jumaat, 13 Mei,” kata WAM.
“Kementerian Hal Ehwal Presiden mengumumkan perkabungan rasmi dan bendera dikibarkan separuh tiang untuk Allahyarham Syeikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, semoga Allah merahmati beliau, untuk tempoh 40 hari, mulai hari ini.
“Kementerian, jabatan, institusi Persekutuan dan tempatan, dan sektor swasta menggantung semua urusan selama 3 hari, mulai hari ini (Jumaat),” kata WAM.
Tugas rasmi Sheikh Khalifa sejak diserang angin ahmar dan menjalani pembedahan pada 2014, dilaksanakan adiknya Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed, telah dilihat secara meluas sebagai pemimpin de-facto UAE.
Sheikh Khalifa dilantik sebagai presiden kedua UAE pada 2004, menggantikan bapanya dan pengasas UAE Sheikh Zayed al Nahyan.
Dilahirkan pada 1948 di timur Abu Dhabi, Sheikh Khalifa adalah anak sulung Sheikh Zayed. Sebelum peranannya sebagai presiden, beliau adalah Putera Mahkota Abu Dhabi dan mengetuai Majlis Petroleum Tertinggi Abu Dhabi, yang merangka dasar minyak.
Sebagai presiden, beliau mengetuai salah satu dana pelaburan terbesar di dunia, Abu Dhabi Investment Authority, menguruskan ratusan bilion dolar aset syarikat.
Salah satu bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, mengambil namanya selepas kerajaan UAE menyelamatkan Dubai daripada hutangnya, dan sebagai peminat sukan dia menyokong pengambilalihan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris Manchester City.
Sheikh Khalifa dipercayai antara pemerintah terkaya di dunia dengan kekayaan peribadi dianggarkan oleh majalah Forbes pada 2008 pada AS$19 bilion.
Allahyarham diketahui mempunyai lapan anak – dua lelaki dan enam perempuan – dengan isteri pertamanya, Sheikha Shamsa binti Suhail Al Mazrouei, selain meninggalkan beberapa cucu. – Agensi
Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan meninggal dunia pada usia 73 tahun.