
Adik kepada Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa, yang juga bekas Menteri Kewangan Basil Rajapaksa cuba melarikan diri melalui Laluan Sutera Lapangan Terbang Katunayake, tetapi gagal. - Gambar agensi
Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa yang terperangkap di negaranya sendiri pada Selasa merancang melarikan diri melalui jalan laut setelah pihak berkuasa lapangan terbang menghalang beliau keluar daripada negara pulau itu.
Rajapaksa telah berjanji untuk meletak jawatan esok (13 Julai) dan membuka jalan bagi “peralihan kuasa secara aman” berikutan bantahan meluas terhadapnya berhubung krisis ekonomi yang belum pernah berlaku di negara itu.
Pemimpin berusia 73 tahun itu melarikan diri dari kediaman rasminya di Colombo setelah puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbunya Sabtu lalu merancang ke Dubai, kata pegawai kerajaan.
Sebagai presiden, Rajapaksa menikmati imuniti daripada penahanan, dan beliau dipercayai mahu ke luar negara sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditahan.
Tetapi pegawai imigresen enggan memasuki bilik kenamaan untuk mengecop pasportnya, sementara Rajapaksa bertegas tidak akan melalui kemudahan biasa kerana bimbang tindakan balas daripada pengguna lain di lapangan terbang itu.
Presiden dan isterinya bermalam di pangkalan tentera bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike utama selepas terlepas empat penerbangan yang mungkin membawa mereka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Adik bongsu Rajapaksa, Basil, yang meletak jawatan pada April sebagai menteri kewangan, terlepas penerbangan Emirates ke Dubai awal hari ini selepas pergaduhan yang sama dengan kakitangan lapangan terbang.
Basil – yang memegang kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) sebagai tambahan kepada kerakyatan Sri Lanka – cuba menggunakan perkhidmatan berbayar untuk pengembara perniagaan, tetapi kakitangan lapangan terbang dan imigresen berkata mereka menarik diri daripada perkhidmatan laluan pantas berkuat kuasa serta-merta.
“Terdapat beberapa penumpang lain yang membantah Basil menaiki penerbangan mereka. Ia adalah keadaan yang tegang, jadi dia tergesa-gesa meninggalkan lapangan terbang,” kata seorang pegawai lapangan terbang kepada AFP.
Sumber tertinggi pertahanan berkata, pegawai tentera terdekat dengan presiden sedang membincangkan kemungkinan membawa Rajapaksa dan rombongannya ke luar negara menaiki kapal peronda tentera laut.
Sebuah bot tentera laut telah digunakan pada Sabtu untuk membawa Rajapaksa dan pembantunya ke bandar pelabuhan timur laut Trincomalee, dari mana beliau dibawa ke lapangan terbang.
“Pilihan terbaik sekarang ialah mengambil jalan laut. Beliau boleh pergi ke Maldives atau India dan mendapatkan penerbangan ke Dubai,” kata pegawai pertahanan itu.
Rajapaksa dituduh menyalahuruskan ekonomi Sri Lanka sehingga negara itu kehabisan tukaran asing untuk membiayai import yang paling penting sekali gus menjejaskan dengan teruk 22 juta penduduknya.
Jika beliau berundur seperti yang dijanjikan, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe secara automatik akan menjadi pemangku presiden sehingga Parlimen memilih wakil rakyat lain untuk menamatkan penggal presiden, yang berakhir pada November 2024.
Sri Lanka gagal membayar hutang luar negaranya yang berjumlah AS$51 bilion (RM226.3 bilion) pada April dan sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk program penyelamatan. – AFP