
Model Hong Kong yang sedang meningkat naik, Abby Choi, 28, dibunuh kejam. - Gambar lofficielmonaco.com
Polis Hong Kong belum menemukan kepala, badan dan tangan model, Abby Choi, 28, yang dibunuh kejam dipercayai didalangi bekas bapa mentuanya yang kini telah ditangkap bersama beberapa yang lain.
Superintendant Alan Chung berkata mayat model itu ditemukan di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan tempat untuk menyembelih dan memotong, sebelum sebahagian badannya dimasukkan ke dalam peti sejuk.
“Polis menemui dua kaki di dalam peti sejuk, serta kad pengenalan, kad kredit, dan barang-barang lain mangsa, selepas memecah masuk ke dalam rumah yang disewa oleh bekas bapa mentua model itu pada petang Jumaat.
“Tisu manusia ditemui dalam periuk sup – tetapi polis masih belum menemui kepala, sebahagian badan dan tangan mangsa.
“Rumah di kampung Lung Mei – sebuah perkampungan tepi pantai kira-kira setengah jam pemanduan dari pusat bandar – dilengkapi dengan gergaji elektrik dan penggiling daging yang telah digunakan untuk mengisar daging manusia, kata Chung.
Bekas suami Abby, seorang lelaki berusia 28 tahun bernama Kwong, telah ditangkap pada petang Sabti atas tuduhan membunuh, ketika dia cuba melarikan diri dari bandar dengan bot, menurut polis.
Bapa, ibu dan abang lelaki itu telah ditahan atas tuduhan yang sama sehari sebelumnya.
Abby Choi pertama kali dilaporkan hilang pada Rabu. Dia didakwa kali terakhir dilihat oleh abang bekas suaminya, yang juga bekerja sebagai pemandunya.
Polis berkata, keluarga itu sebelum ini berbohong untuk mengelirukan penyiasat.
Kini, polis menyatakan kemungkinan motif pembunuhan model yang sedang meningkat naik itu yang menghiasi muka depan majalah di Monaco bulan ini, adalah berkaitan wang.
Pihak berkuasa percaya Abby mempunyai pertikaian kewangan dengan bekas suaminya dan keluarganya mengenai hartanah berharga 100 juta dolar Hong Kong, di mana dia merancang untuk menjualnya.
Chung berkata: “Kami percaya mangsa dan keluarga bekas suaminya mempunyai banyak pertikaian kewangan melibatkan jumlah yang besar.
“Seseorang tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengendalikan asetnya, yang menjadi motif untuk membunuh.” – Agensi