
Thailand menguatkuasakan larangan ketat ke atas penggunaan rekreasi ganja dalam kalangan anggota tentera dan memberi amaran kepada mereka supaya tidak mempromosikan penggunaan sedemikian di media sosial. - Gambar EPA
Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha melarang anggota tentera negara itu daripada menggunakan ganja dan seruan sama juga telah dibuat supaya dadah itu diharamkan di Parlimen.
Timbalan jurucakap Kementerian Pertahanan Kol Jittanat Punnothok berkata Jeneral Prayut, yang juga menteri pertahanan, telah memberitahu ketiga-tiga cabang angkatan tentera supaya mematuhi arahan ini.
Keputusan itu juga terpakai kepada polis dan Jabatan Perhubungan Awam kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang risiko yang terlibat dalam penanaman dan penggunaan ganja.
Menurut laporan Bangkok Post, Kol Jittanat berkata perdana menteri menguatkuasakan larangan ketat terhadap penggunaan ganja rekreasi dalam kalangan anggota tentera dan memberi amaran kepada mereka untuk tidak mempromosikan penggunaan sedemikian di media sosial.
“Semua organisasi di bawah Kementerian Pertahanan mesti mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan Awam mengenai penggunaan ganja. Mereka dibenarkan mengambil ganja untuk tujuan perubatan tetapi bukan untuk kegunaan rekreasi,” kata Kol Jittanat.
Sementara itu, Parti Demokrat meminta Speaker Parlimen Chuan Leekpai untuk menjadikan Parlimen sebagai zon bebas ganja kerana penggunaannya boleh menyebabkan keletihan dan masalah kesihatan lain.
Ahli Parlimen Parti Demokrat Pisit Leeahtam berkata walaupun ganja dikeluarkan daripada senarai narkotik Kategori 5, Parlimen harus menjadi zon bebas ganja, sama seperti Universiti Mahidol dan semua sekolah yang beroperasi di bawah Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA).
Ahli Parlimen Parti Bhumjaithai Supachai Jaisamut, presiden jawatankuasa rang undang-undang ganja dan rami, berkata terdapat keperluan untuk menggariskan butiran lanjut mengenai rang undang-undang itu seperti had bilangan tumbuhan yang dibenarkan untuk ditanam.
Persatuan Perubatan Penerbangan Thailand (AMAT) dan Institut Perubatan Penerbangan Tentera Udara juga mengeluarkan kenyataan pada Sabtu, mewajibkan semua juruterbang dan kakitangan yang bekerja dalam industri penerbangan untuk mengelak daripada menggunakan ganja kerana ia boleh menghalang prestasi juruterbang.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Kedutaan Thailand di Jepun memberi amaran kepada rakyat Thailand supaya tidak memasuki Jepun dengan membawa ganja atau produk berkaitan.
“Kedutaan Thai di Tokyo ingin memberi amaran kepada rakyat Thailand supaya tidak membawa masuk ganja, rami atau produk yang mengandungi tumbuhan itu ke Jepun.
“Mereka yang melanggar peraturan boleh menghadapi hukuman di bawah undang-undang Jepun,” katanya dalam mesej yang disiarkan di halaman Facebooknya.