PM, lima menteri terselamat undi tidak percaya Parlimen Thailand

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha dan lima anggota Kabinet ‘terselamat’ daripada usul undi tidak percaya di Parlimen hari ini, tatkala aktivis merancang mengadakan lebih banyak demonstrasi dan membanjiri jalan raya di Bangkok untuk menuntut pengundurannya.

Prayuth, ketua tentera yang merampas kuasa daripada kerajaan demokrasi pada 2014, memperoleh 264 undi yang memihak kepadanya dan 208 bersetuju dengan undi tidak percaya.

Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul, dan empat lagi anggota Kabinet turut terselamat daripada undian itu.

Pembangkang memerlukan sokongan 242 undi daripada keseluruhan 482 Ahli Parlimen untuk memaksa Prayuth meletakkan jawatan.

Selama empat hari perdebatan di televisyen, Anggota Parlimen menuduh Prayuth tidak cekap menangani pandemik Covid-19, pelaksanaan program vaksinasi, rasuah dan membeli undi dalam kalangan barisan Ahli Parlimen partinya, pada saat-saat akhir pengundian.

Prayuth menafikan sebarang salah laku dan memberitahu Parlimen bahawa beliau tidak biasa dengan rasuah.

Beliau juga menolak kritikan bahawa kerajaannya sangat perlahan dalam melaksanakan program imunisasi sambil menegaskan kerajaannya bukan yang terbaik dalam menangani Covid-19 tetapi bukan juga yang terburuk.

Thailand melaporkan lebih 1.2 juta kes positif dan lebih 12,000 kematian, kebanyakannya didorong oleh penularan varian Delta.

Kira-kira 13 peratus daripada 66 juta penduduknya telah menerima vaksin lengkap.

“Kami kecewa dengan keputusan itu,” kata pemimpin parti Move Forward, Pita Limjaroenrat.

“Ia memalukan sistem Parlimen yang tidak mencerminkan apa yang berlaku di jalan-jalan, dan kesusahan yang dihadapi rakyat,” katanya.

Prayuth dan Kabinetnya sebelum ini berdepan dengan undi tidak percaya pada 2019. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR