PM Britain kahwin kali ketiga

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengahwini Carrie Symonds dalam satu majlis tertutup, lapor media tempatan hari ini.

Johnson, 56, menjadi Perdana Menteri Britain pertama yang berkahwin ketika dalam perkhidmatan dalam tempoh hampir 200 tahun.

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan di gereja di Westminster dengan kehadiran tetamu yang terhad, termasuk ahli keluarga dan rakan rapat kedua-duanya.

Akhbar Britain The Sun melaporkan majlis itu sudah dirancang sejak enam bulan lalu dengan penuh rahsia.

Akhbar The Mail pula melaporkan kira-kira 30 tetamu dijemput pada majlis itu kerana peraturan Covid-19 menghalang perkumpulan yang terlalu ramai.

Kedua-duanya mengumumkan pertunangan pada Februari tahun lalu dan mereka mempunyai seorang anak lelaki, Wilfred, pada April lalu.

Ini adalah perkahwinan kali ketiga Johnson selepas yang pertama iaitu Allegra Mostyn-Owen pada 1987 tetapi bercerai susula dakwaan beliau mempunyai hubungan sulit dengan rakan ketika kecil, Marina Wheeler.

Johnson kemudian mengahwini Wheeler pada 1993 tetapi bercerai pada 2020. Melalui perkahwinan ini mereka mempunyai empat anak. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR