
Penyelidik Universiti Minnesota, Md Abdullah Al Noman.
Sepasukan saintis berjaya membangunkan pil perancang keluarga untuk lelaki yang dilaporkan mencapai 99 peratus keberkesanan ketika diuji pada tikus makmal, dan tidak menyebabkan kesan sampingan, dengan ujian klinikal terhadap manusia dijangka bermula akhir tahun ini.
Penemuan itu akan dibentangkan pada mesyuarat American Chemical Society pada musim bunga ini – menandakan satu lagi langkah penting ke arah memperluaskan pilihan kawalan kelahiran untuk lelaki.
Sejak pil perancang kelahiran wanita pertama kali diluluskan pada 1960-an, penyelidik berminat dengan pil sama untuk lelaki, kata penyelidik Universiti Minnesota, Md Abdullah Al Noman, yang akan membentangkan penemuan itu kepada AFP.
“Pelbagai kajian menunjukkan bahawa lelaki berminat untuk berkongsi tanggungjawab kawalan kelahiran dengan pasangan mereka,” katanya, tetapi sehingga kini, hanya terdapat dua pilihan berkesan yang tersedia – kondom atau vasektomi (pembedahan untuk membuang sebahagian atau seluruh salur mani).
Bagaimanapun, pembedahan membuang saluran air mani adalah mahal dan tidak selalunya berjaya.
Pil wanita menggunakan hormon untuk mengganggu kitaran haid, dan usaha bersejarah untuk membangunkan setara lelaki menyasarkan hormon steroid lelaki.
Masalah dengan pendekatan ini, adalah ia menyebabkan kesan sampingan seperti berat badan bertambah, kemurungan dan peningkatan paras kolesterol yang dikenali sebagai lipoprotein berketumpatan rendah, yang meningkatkan risiko penyakit jantung.
Pil wanita juga membawa kesan sampingan, termasuk risiko pembekuan darah. Tetapi memandangkan wanita menghadapi kehamilan tanpa ketiadaan kontraseptif, pengiraan risiko adalah berbeza.
Untuk membangunkan ubat bukan hormon, Md Abdullah yang bekerja di makmal Profesor Gunda Georg, menyasarkan protein yang dipanggil “reseptor asid retinoik (RAR) alpha.”
Di dalam badan, vitamin A ditukar kepada bentuk yang berbeza, termasuk asid retinoik, yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sel, pembentukan sperma, dan perkembangan embrio. – AFP