‘Phuket Sandbox’ pikat hampir 8,000 pelancong asing

Thailand membuka semula industri pelancongan di Pulau Peranginan Phuket menerusi program Phuket Sandbox. - Gambar Kerajaan Thailand

Sejak Thailand membuka semula pintu masuk negaranya pada 1 Julai lalu bagi Program “Phuket Sandbox”, hampir 8,000 pelancong asing telah memohon Sijil Kebenaran Masuk (COE) melalui kedutaan dan konsulat Thailand di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Konsulat, Chatchai Viriiyavejakul melaporkan kepada Agensi Berita Vietnam (VNA) bahawa banyak pelancong asing berminat untuk ke Phuket sejak program itu dilancarkan.

Lebih 7,890 pelancong asing telah mendaftar di bawah program itu dan hanya 6,119 orang telah diberikan Sijil Vaksinasi sepenuhnya manakala dari jumlah itu, hanya 2802 orang sahaja yang diberikan COE.

Chatchai memberitahu media bahawa Kementerian Luar Negeri Thailand telah mengeluarkan COE kepada 446 pelancong yang tiba pada hari Sabtu lalu, 462 pelancong yang tiba semalam dan 127 orang lagi akan tiba hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket.

Chatchai turut memaklumkan 11 penerbangan telah dibatalkan melibatkan dua penerbangan sewa dan sembilan penerbangan komersil pada hari Sabtu lalu. Kebanyakkan pelancong dari Amerika telah memohon untuk program ini dan diikuti oleh pelancong dari Jerman, Perancis, Inggeris dan Denmark.

Katanya, bagi mempercepatkan proses saringan, kementeriannya telah menempatkan petugas tambahan di Lapangan Terbang.

Kerajaannya menjangkakan pada suku ketiga tahun ini dari Julai hingga September, Negara ini dijangkakan dapat memperoleh pendapatan sekitar 8.9 bilion baht (US$277 juta) kerana hampir 100,000 pelancong asing akan mengunjungi Phuket. – Agensi

POPULAR