Phuket Sandbox: Baru seminggu dibuka pelancong asing sudah positif Covid-19

Baharu seminggu sektor pelancongan dibuka semula menerusi pakej yang dikatakan mampu menjana kembali pendapatan – Phuket Sandbox – seorang pelancong asing disahkan positif Covid-19.

Pelancong lelaki berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu tiba di pulau peranginan Phuket Selasa lalu dan menjalani ujian calitan pengesanan Covid-19 sebagaimana dikehendaki peraturan yang ditetapkan kepada pengembara asing.

“Lelaki itu mengambil ujian Covid-19 ketika tiba di Phuket seperti yang dikehendaki dalam peraturan kawalan penyakit dan hasilnya positif,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan Thailand.

Katanya pegawai kesihatan telah memaklumkan kepada pengurusan hotel agar pesakit terbabit tidak dibenarkan meninggalkan bilik hotelnya sehingga dia dibawa untuk rawatan di hospital.

“Individu yang mempunyai kontak rapat dan berisiko tinggi dengannya, mereka dibawa ke ALQ dan dijalankan ujian Covid-19,” katanya.

Menurut Pejabat Perhubungan Awam Phuket, pelancong tersebut melakukan perjalanan dari Dubai ke Phuket dengan menaiki penerbangan Emirates EK378, yang membawa 14 penumpang.

Dua pemandu dan beberapa orang pekerja hotel itu yang mempunyai kontak rapat dengan pelancong itu telah di kuarantin.

Phuket dibuka semula untuk pelancong antarabangsa bermula 1 Julai lalu selepas ia ditutup hampir setahun kerana wabak Covid-19.
Pelancong asing dari luar negara tidak perlu menjalani kuarantin jika mereka telah diberi vaksin sepenuhnya di negara asal sekurang-kurangnya 14 hari sebelum memulakan perjalanan dan diuji negatif semasa tiba di Phuket.

Namun, sekiranya terdapat pelancong asing yang positif, mereka akan dipindahkan ke Hospital untuk diberikan rawatan.

Phuket menjadi Wilayah pertama di Thailand yang menerima kedatangan pelancong antarabangsa tanpa syarat kuarantin di bawah Program “Phuket Sandbox” yang dirancang untuk membantu memulihkan ekonomi Thailand yang terjejas sejak wabak Covid-19 melanda.

Menurut Gabenor Phuket, Narong Woonsiew memaklumkan sebanyak 2,113 orang pelancong telah memasuki Phuket sejak Program “Phuket Sandbox” dilancarkan dan hanya seorang sahaja yang diuji positif.

Koosak turut memberitahu media bahawa Pihaknya telah menyediakan 299 bilik untuk kuarantin dan 294 orang telah menggunakan sehingga semalam. Selain itu, terdapat 31 bilik yang tersedia dan pihaknya juga akan menyediakan lebih banyak bilik kuarantin sekiranya diperlukan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR