Pfizer ramal pandemik Covid-19 kekal sehingga 2024

Firma farmaseutikal dan bioteknologi Pfizer Inc meramalkan pandemik Covid-19 tidak akan tamat sehingga 2024, sambil menjelaskan vaksin versi yang lebih rendah untuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun menghasilkan tindak balas imun yang lemah daripada dijangkakan.

Ia sekali gus boleh melewatkan firma itu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa kawalan ubat-ubatan antarabangsa.

Syarikat itu berkata mereka sedang menguji pakej vaksin tiga dos dalam semua kumpulan umur di bawah 16 tahun, termasuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun.

Pfizer dan BioNTech menguji dos 3 mikrogram vaksin terhadap kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun selepas menggunakan dos 10 mikrogram pada kanak-kanak lima hingga 11 tahun dan dos 30 mikrogram kepada semua individu berumur lebih 12 tahun.

Bagi kanak-kanak berusia enam hingga 24 bulan, versi vaksin dos yang lebih rendah menghasilkan tindak balas imun yang konsisten dengan penerima vaksin yang lebihberusia, kata syarikat itu.

Jika kajian tiga dos itu berjaya, Pfizer dan BioNTech akan menyerahkan data kepada pengawal selia bagi menyokong kebenaran penggunaan kecemasan kepada kanak-kanak berusia enam bulan hingga di bawah lima tahun pada separuh pertama 2022.

Pfizer sebelum ini menjangkakan data daripada kumpulan umur itu diperoleh tahun ini, tetapi tidak menjangkakan kelewatan itu akan mengubah rancangan memfailkan permohonan kebenaran penggunaan kecemasan pada suku kedua 2022.

“Data itu menggambarkan kesan penggalak dan vaksin kami berfungsi paling baik sebagai rejim utama tiga dos,” kata Ketua Pegawai Saintifik Pfizer Inc, Mikael Dolsten.

Pfizer membangunkan vaksin Covid-19 bersama syarikat BioNTech Jerman. Kedua-duanya juga telah membangunkan versi vaksin untuk memerangi varian Omicron, namun belum memutuskan sama ada ia diperlukan atau tidak.

“Mereka menjangkakan untuk memulakan percubaan klinikal untuk vaksin yang dikemas kini pada bulan Januari,” kata eksekutif Pfizer. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR