Pfizer mohon kebenaran dos penggalak kepada kanak-kanak

Pfizer dan rakan kongsinya BioNTech berkata pada Selasa (26 April) memberitahu mereka telah mengemukakan permohonan kepada pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat (AS) untuk kebenaran dos penggalak vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Syarikat itu awal bulan ini melaporkan data daripada kajian peringkat pertengahan hingga akhir yang menunjukkan suntikan dos ketiga mereka meningkatkan perlindungan terhadap versi Covid-19 asal dan varian Omicron dalam kalangan kanak-kanak membabitkan kumpulan umur itu.

Bagaimanapun, tidak pasti berapa banyak permintaan yang ada untuk vaksin ketiga bagi kumpulan umur 5 hingga 11 tahun itu.

Hanya 28 peratus kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun atau sekitar 8.2 juta, diberi vaksin sepenuhnya, menurut data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Terdapat juga beberapa keraguan berhubung keperluan untuk penggalak kepada kanak-kanak yang lebih muda memandangkan pengurangan risiko jangkitan teruk dan kemasukan ke hospital dalam kumpulan umur itu.

Pfizer dan BioNTech telah memfailkan pelepasan dos penggalak 10 mikrogram untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun. Orang dewasa menerima dos 30 mikrogram vaksin.

AS membenarkan suntikan dos utama daripada Pfizer dan BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun pada Oktober tahun lalu.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS pada Januari membenarkan penggunaan dos ketiga vaksin Covid-19 syarikat itu untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.

Agensi itu juga telah membenarkan suntikan penggalak untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang menghadapi masalah imun.

Sementara itu, Moderna masih menunggu keputusan daripada pengawal selia AS mengenai penggunaan siri Covid-19 utamanya dalam kalangan kumpulan umur bawah 18 tahun.

Ia merancang untuk mengemukakan permohonan kepada FDA untuk kebenaran vaksin Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak enam bulan hingga lima tahun menjelang akhir April. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR