Pfizer mohon dos penggalak diberi kepada semua individu dewasa

Pfizer Inc mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) supaya vaksin keluarannya turut dijadikan dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas, langkah yang diambil di tengah-tengah kebimbangan peningkatan penyebaran Covid-19 ketika cuti hujung tahun dan perhimpunan ramai.

Sebelum ini, warga emas dan kumpulan lain yang mudah terdedah kepada virus itu, mempunyai akses kepada dos ketiga vaksin Pfizer sejak September lalu.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS sebelum ini berkata mereka sedang menyemak untuk memperluaskan pemberian dos penggalak kepada individu lebih muda.

Pfizer turut mengemukakan keputusan awal kajian dos penggalak melibatkan 10,000 individu bagi memperkuatkan tuntutan supaya suntikan ketiga diberikan kepada individu seawal usia 18 tahun.

Walaupun ketiga-tiga vaksin yang digunakan di AS menawarkan perlindungan yang kuat terhadap jangkitan teruk dan kematian akibat Covid-19, keberkesanannya boleh berkurangan dari semasa ke semasa.

Kajian terbaharu Pfizer menunjukkan suntikan penggalak mampu memulihkan semula perlindungan daripada jangkitan sehingga 95 peratus, walaupun varian Delta meningkat. Kesan sampingannya sama seperti suntikan dos pertama dan kedua.

Menurut peraturan sekarang, individu yang telah menerima vaksin Pfizer atau Moderna layak menerima dos penggalak selepas enam bulan sekiranya mereka berusia 65 tahun dan ke atas, serta mereka yang bertugas dan mudah terdedah kepada jangkitan.

Sehingga semalam, kira-kira 194 juta rakyat Amerika telah lengkap divaksin.

Sementara itu, jurucakap FDA, Alison Hunt berkata agensi itu akan menyemak permohonan Pfizer secepat mungkin, tetapi tidak menetapkan tempoh masa untuk membuat keputusan.

Sekiranya FDA meluluskan permohonan itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) akan memberi cadangan bagaimana vaksin itu harus digunakan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR