Pfizer, Moderna sesuai untuk wanita hamil: Kajian

Penyelidik mendapati kesan sampingan yang paling biasa daripada vaksin adalah sakit di tempat suntikan, dan ianya lebih kerap berlaku kepada wanita yang sedang hamil.

Vaksin mRNA Covid-19 yang dihasilkan Pfizer/BioNTech dan Moderna didapati tidak mendatangkan kesan serius kepada kehamilan, lapor data baharu analisis yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England.

Analisis itu bagaimanapun hanya dikhususkan kepada vaksin Pfizer dan Moderna, kerana kedua-duanya dicipta berdasarkan teknologi mRNA yang lebih baharu.

Oleh itu penemuan daripada analisis berkenaan tidak relevan dengan vaksin seperti AstraZeneca atau Johnson & Johnson.

Data baru, yang disusuli dengan penyelidikan, menunjukkan vaksin mRNA berkesan kepada individu yang hamil dan sedang menyusu bayi, sekali gus menunjukkan bahawa manfaat vaksin melebihi risiko.

Analisis itu melihat kepada data lebih 35,000 ibu hamil yang telah melaporkan status kesihatan mereka kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), menggunakan aplikasi telefon pintar, dan diikuti dengan sekumpulan 3,958 ibu hamil yang telah menerima vaksin mRNA.

Analisis itu juga mendapati bahawa kesan buruk, termasuk keguguran dan kelahiran prematur, tidak ketara kepada individu yang diberi vaksin.

Kajian ini juga melihat kesan sampingan vaksin ketika kehamilan. Penyelidik mendapati kesan sampingan yang paling biasa daripada vaksin adalah sakit di tempat suntikan, dan ianya lebih kerap berlaku kepada wanita yang sedang hamil.

Sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, walaupun kehamilan menjadikan wanita berisiko tinggi mendapat Covid-19 yang teruk, sangat sedikit data yang tersedia untuk menilai keselamatan vaksin ketika tempoh hamil.

Bagaimanapun, WHO berkata, wanita hamil boleh menerima vaksin jika manfaatnya melebihi potensi risiko. – Agensi