
Syarikat farmasuetikal, Pfizer dan BioNTech berkata, vaksin Covid-19 mereka amat berkesan dalam merawat varian Afrika Selatan B.1.351 ketika fasa terbaharu ujian klinikal yang sedang dijalankan.
Tidak kes positif dilaporkan di Afrika Selatan ketika ujian klinikal fasa tiga dijalankan di kalangan individu yang telah menerima dos kedua, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, beberapa varian Covid-19 yang berpotensi lebih mudah merebak menyebabkan kebimbangan di seluruh dunia sama ada vaksin sedia ada masih mampu memberi perlindungan terhadap virus yang sentiasa bermutasi.
“Di Afrika Selatan di mana B.1.351 biasanya merebak, 800 peserta didaftarkan dan sembilan kes Covid-19 diawasi dan diletakkan dalam satu kumpulan. Enam daripadanya disahkan dijangkiti B.1.351.
“Kesan vaksin diperhatikan sehingga enam bulan selepas dos kedua, dan sekali lagi varian lazim di Afrika Selatan memberikan keyakinan mengenai keberkesanan vaksin kami secara keseluruhan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla.
Secara keseluruhannya, daripada 46,307 ujian vaksin dilakukan ke atas peserta di seluruh negara, 91.3 peratus didapati berkesan melawan Covid-19.
Malaysia turut mengesan kewujudan B.1.351 di kalangan kes positif tempatan, selepas beberapa sampel diuji sepanjang Januari hingga 31 Mac lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kewujudan varian Afrika Selatan B.1.351 di Malaysia mula dikenal pasti di kalangan empat kes tempatan pada Mac 2021.
“Hasil siasatan awal mendapati, keempat-empat kes tersebut mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti yang ditunjukkan dalam analisis filogenetik.
“Dua (2) kes dipercayai dari Kluster Jalan Lima yang merupakan pekerja di salah sebuah syarikat berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Bagaimanapun, cara penularan atau jangkitan varian B.1.351 kepada pekerja kes tersebut sukar untuk dikenal pasti dan disahkan,” katanya. – Agensi