Pfizer dakwa Paxlovid mampu lawan Omicron

Pfizer mengakui pil antiviral Covid-19 keluaran syarikatnya, Paxlovid, menunjukkan lebih 90 peratus keberkesanan untuk menghalang kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.

Syarikat farmaseutikal itu mendakwa, data ujian terkini pil tersebut turut menunjukkan ianya mampu untuk melawan varian baharu, Omicron yang lebih pantas merebak itu.

Menurut Ketua Pegawai Saintifik Pfizer, Mikael Dolsten melalui kajian terhadap 1,200 pesakit Covid-19 pada November lalu, tiada kematian dikesan setelah menggunakan ubat oral berkenaan.

Pil itu perlu diambil dua kali sehari, untuk tempoh lima hari bermula selepas terdapatnya gejala Covid-19.

Sekiranya ubat berkenaan mendapat kelulusan penggunaan, ia akan dijual dan dikenali dengan nama ‘Paxlovid’.

Sementara itu, Pfizer turut mengeluarkan data awal daripada kajian kedua menunjukkan penggunaan pil itu dapat mengurangkan kadar kemasukan ke hospital sebanyak 70 peratus dalam satu kajian berskala kecil melibatkan golongan dewasa.

Melalui keputusan yang diperolehi, jelas menunjukkan kesan positif keberkesanan pil itu.

Dolsten turut mengharapkan, kelulusan dan kebenaran penggunaan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) akan diperoleh dalam kadar segera. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR