Pfizer dakwa dos penggalak tawar perlindungan daripada Omicron

Pfizer Inc berkata dos penggalak vaksin Covid-19 keluaran firma farmaseutikalnya mungkin menawarkan perlindungan penting terhadap varian Omicron, walaupun dua dos awal kelihatan kurang berkesan dengan ketara.

Pfizer dan rakan kongsinya BioNTech dalam kenyataan hari ini berkata walaupun dua dos mungkin tidak cukup memberi perlindungan bagi mencegah jangkitan, ujian makmal menunjukkan dos penggalak meningkat sebanyak 25 kali ganda tahap antibodi individu melawan virus.

Sampel darah yang diambil sebulan selepas penggalak menunjukkan orang ramai mempunyai tahap antibodi peneutral Omikron yang serupa dengan jumlah yang terbukti melindungi terhadap varian terdahulu selepas dua dos.

Setakat ini, saintis belum mengetahui betapa besar sebenarnya ancaman varian Omicron. Ketika ini, varian Delta yang lebih menular menjadi virus utama kebanyakan kes Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) dan negara lain.

Tetapi varian Omicron, yang ditemui lewat bulan lalu, membawa sejumlah besar mutasi yang luar biasa dan saintis berlumba-lumba untuk mengetahui betapa mudahnya ia merebak, sama ada ia menyebabkan penyakit yang lebih serius atau lebih ringan berbanding varian lain – dan sejauh mana ia mungkin mengelak daripada vaksinasi terdahulu.

Penemuan Pfizer, yang diumumkan dalam siaran media hari ini, masih pada peringkat awal dan belum lagi menjalani semakan saintifik. Tetapi firma itu adalah yang pertama daripada syarikat pengeluar vaksin yang mengkaji sama ada dos penggalak boleh menunjukkan kesan yang penting terhadap Omicron.

“Walaupun dua dos vaksin mungkin masih menawarkan perlindungan terhadap penyakit teruk yang disebabkan oleh varian Omicron, jelas daripada data awal ini bahawa perlindungan dimaksimumkan dengan dos ketiga vaksin kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla dalam satu kenyataan.

Saintis sebelum ini membuat spekulasi bahawa lonjakan tinggi dalam antibodi yang datang dengan dos ketiga vaksin Covid-19 mungkin cukup untuk mengatasi sebarang penurunan dalam keberkesanannya melawan virus itu.

Pfizer dan BioNTech sudah pun berusaha untuk mencipta vaksin khusus Omicron sekiranya ia diperlukan.

Tahap antibodi meramalkan sejauh mana vaksin boleh mencegah jangkitan Covid-19, tetapi ia hanyalah satu lapisan pertahanan sistem imun.

Pfizer berkata dua dos vaksin masih perlu ubtuk melindungi daripada mengalami jangkitan teruk.

Pengumuman Pfizer memberi impak segera kepada pasaran AS. Niaga hadapan yang telah menunjukkan arah aliran positif dengan Dow melonjak hampir 200 mata. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR