
Pesawat Vietnam Airlines terpaksa melakukan pendaratan kecemasan pada Rabu, 27 Julai 2022. - Gambar agensi
Sebuah pesawat penerbangan Vietnam Airlines dari Danang ke Hanoi terpaksa melakukan pendaratan cemas tidak lama selepas berlepas pada pagi Rabu selepas asap kelihatan berkepul-kepul dari salah satu enjinnya.
Airbus A321 dengan 111 penumpang kembali ke Lapangan Terbang Danang selepas masalah itu dilaporkan.
Semua penumpang telah dipindahkan ke penerbangan lain pada hari sama.
Juruteknik sedang memeriksa pesawat untuk menentukan punca masalah.
Bui Van Thanh, pengarah Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Wilayah Tengah di bawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam, memberitahu Agensi Berita Vietnam bahawa insiden itu tidak serius dan kru penerbangan tidak perlu mendapatkan bantuan kecemasan semasa mendarat.
Kes itu telah dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam (CAAV), kata Thanh, sambil menjelaskan perkembangan lanjut akan didedahkan kepada umum.
Menurut media tempatan, asap itu bukan disebabkan oleh kebakaran dalam enjin sebaliknya hasil daripada pembakaran bahan api yang tidak sempurna akibat kekurangan aliran udara. – Agensi