Peru lapor kematian pertama akibat jangkitan berganda flurona

Kementerian Kesihatan Peru melaporkan kematian pertama melibatkan ‘flurona’ – jangkitan serentak selesema dan Covid-19 – membabitkan seorang pesakit berusia 87 tahun dengan komorbiditi, serta tidak menerima vaksin Covid-19.

Mangsa adalah salah seorang daripada tiga kes flurona yang dikesan di wilayah Amazon di utara Peru, menurut Dr Cesar Munayco, seorang penyelidik di Pusat Kebangsaan Epidemiologi, Pencegahan dan Kawalan Penyakit kementerian itu.

Dua kes lagi melibatkan seorang kanak-kanak dan lelaki berumur 40 tahun yang telah divaksin sepenuhnya terhadap Covid-19, katanya.

Mereka yang dijangkiti flurona menunjukkan simptom seperti batuk, sakit tekak dan sakit umum, katanya sambil menggesa orang ramai untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dan influenza kerana ia mengurangkan risiko kematian.

“Adalah penting untuk mengambil kira perkara ini, kerana pada masa ini kita mempunyai wabak influenza H3N2 di dalam hutan negara, seperti (wilayah) Loreto, San Martin, Amazonas dan Ucayali,” katanya memberi amaran.

Peru mengumumkan gelombang ketiga Covid-19 pada Selasa, didorong penularan pantas varian Omicron pada Disember lalu. Sehingga kini, negara itu merekodkan 309 membabitkan varian Omicron.

Flurona, istilah yang baru dicipta untuk menggambarkan jangkitan berganda dengan kedua-dua Covid-19 dan influenza, telah menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap potensi gejala dan kesan kedua-dua jangkitan yang mungkin disebabkan punca sama. Berita berkaitan

Istilah itu mendapat perhatian selepas seorang wanita hamil yang tidak divaksin berusia dalam lingkungan 30-an disahkan positif kedua-dua jangkitan itu di Israel pada 30 Disember lalu, yang merupakan kes pertama direkodkan di dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kedua-dua Covid-19 dan influenza adalah penyakit pernafasan yang boleh menyebabkan gejala serupa termasuk batuk, sakit tekak, hidung berair, demam dan sakit kepala.

Begitu juga, kedua-dua penyakit itu boleh disebarkan melalui titisan dan aerosol apabila orang yang dijangkiti bernafas, batuk atau bersin.

Wanita yang dijangkiti itu, menunjukkan simptom ringan, dirawat dengan gabungan ubat yang menyasarkan kedua-dua Covid-19 dan selesema, dan dibenarkan keluar dari hospital pada 30 Disember, menurut pakar perubatan di Hospital Beilinson di bandar Petah Tikva, Israel.

Setakat ini, simptom yang tepat dan kadar kematian yang mungkin disebabkan oleh flurona masih tidak jelas. Saintis masih mengkaji bagaimana ia merebak dan tahap keterukan jangkitannya.

Namun pekerja perubatan bimbang kemunculan flurona akan menambah lebih banyak tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan awam yang sudah dibebani kes Covid-19 sejak akhir 2019 lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR