Perpecahan keluarga bayangi pertabalan Raja Charles III Britain

September 10, 2022 · Dunia

Raja Charles secara rasmi akan diisytiharkan sebagai Raja baharu Britain pada Sabtu (waktu Britain) dalam satu upacara yang akan diikuti dengan tabik hormat bersenjata dan bacaan perisytiharan di London dan merentasi empat penjuru United Kingdom (UK).

Pelantikan itu dibuat susulan kematian Ratu Elizabeth yang berusia 96 tahun pada Khamis selepas 70 tahun di atas takhta. Mengikut undang-undang, Charles secara automatik menjadi Raja apabila ibunya meninggal dunia.

Pengiktirafan akan dibuat oleh Majlis Istiadat di Istana St James yang akan membuat perisytiharan rasmi kenaikan takhta, biasanya diadakan dalam masa 24 jam selepas kematian seorang raja.

Kematian Ratu Elizabeth, raja paling lama memerintah Britain, telah menarik banyak penghormatan dari dalam dan seluruh dunia.

Charles, 73, menggantikan ibunya serta-merta pada Khamis tetapi Majlis Istiadat yang terdiri daripada ratusan ahli politik, uskup dan penjawat awam kanan akan mengisytiharkan penggantian beliau pada Sabtu.

Perisytiharan itu akan disertai dengan tabik hormat senjata dan bentara yang pergi ke Rumah Agam di Kota London di mana ia akan dibacakan di Royal Exchange. Ia turut dibacakan secara terbuka di ibu kota UK yang lain – Edinburgh di Scotland; Belfast di Ireland Utara; dan Cardiff di Wales – serta di lokasi-lokasi lain.

Pada Jumaat, Raja Charles III dalam ucapan pertamanya kepada negara berikrar akan berkhidmat dengan “kesetiaan, rasa hormat dan kasih sayang”.

Charles juga berkata beliau telah melantik anak sulungnya William, 40, sebagai Putera Wales yang baharu, gelaran yang telah menjadi miliknya selama lebih 50 tahun dan secara tradisinya dipegang oleh pewaris takhta.

Isteri William, Kate Middleton pula diangkat menjadi Puteri Wales, jawatan terakhir dipegang oleh mendiang Puteri Diana yang meninggal dunia dalam nahas kereta 25 tahun lalu.

Berbeza dengan seorang lagi anak Raja Charles III, Putera Harry bersama isteri Amerikanya, Meghan Markle, kedua-duanya mengundur diri daripada menjadi kerabat diraja Britain.

Dalam satu laporan, sejurus sebelum menaiki penerbangan di Aberdeen pada pagi Jumaat, selepas kematian neneknya, Putera Harry merangkul bahu seorang pekerja lapangan terbang yang telah menyampaikan simpati ketika menemaninya menyeberangi jalan.

Ia adalah detik kemesraan dan ciri tidak formal Harry, seorang personaliti yang sejak sekian lama mudah didekati, menjadikannya salah seorang kerabat diraja yang paling popular – sehingga keputusannya untuk berundur daripada tugas diraja menyebabkan perpecahan dalam keluarga yang masih belum dapat diselesaikan.

Harry adalah orang terakhir yang tiba di Istana Balmoral pada Khamis, ketika ahli keluarga terdekat Ratu Elizabeth bergegas untuk bersamanya pada saat terakhirnya. Harry juga adalah orang pertama yang bergegas pulang pada Jumaat – mencerminkan fakta bahawa anak kedua Raja Charles III dan mendiang Puteri Diana itu bukan lagi sebahagian daripada kalangan keluarga diraja.

Kebetulan Harry berada di Britain apabila Ratu Elizabeth meninggal dunia. Sebelum kematian neneknya tidak ada rancangan yang diumumkan untuk beliau bertemu keluarganya semasa lawatannya dari Amerika Syarikat (AS), di mana beliau tinggal bersama Meghan.

Bagaimana kerabat diraja berurusan dengan Harry, Meghan dan anak-anak mereka akan menjadi tema utama era pasca Elizabeth – salah satu drama keluarga yang telah menjadikan House of Windsor objek kekal yang menarik perhatian global.

Raja Charles II dalam ucapannya juga memberi isyarat hasratnya untuk memulihkan hubungan semasa dengan Putera Harry dan Meghan.

“Saya juga ingin menyatakan rasa sayang kepada Harry dan Meghan kerana mereka terus membina kehidupan di luar negara,” katanya.

Namun, kematian Ratu Elizabeth sahaja tidak mungkin memulihkan keharmonian dalam hubungan Putera Harry dengan Raja Charles III atau dengan abangnya Putera William, kini pewaris takhta.

Adik beradik itu rapat selama bertahun-tahun selepas kematian ibu mereka Puteri Diana dalam kemalangan kereta pada 1997, ketika William berusia 15 tahun dan Harry pula 12 tahun, tetapi ikatan mereka telah renggang sejak Harry dan Meghan mula menjauhkan diri pada Januari 2020.

Pada mulanya, pasangan itu berkata mereka merancang untuk mengimbangi masa antara Britain dan AS serta mengukir “peranan baharu yang progresif” dalam sistem beraja. Tetapi rancangan mereka tidak sesuai dengan Elizabeth, Charles atau William.

Pasangan itu berpindah sepenuh masa ke California dan, selepas tempoh semakan 12 bulan, mereka melepaskan naungan diraja dan secara kekal meninggalkan kelab eksklusif yang dipanggil “Yang Mulia”.

Pada Mac 2021, mereka memberikan temu bual hebat kepada Oprah Winfrey di mana Meghan menyatakan rasa tidak senangnya ketika menjadi kerabat diraja yang bekerja sehingga mendorongnya ke ambang bunuh diri.

Dia juga berkata terdapat “kebimbangan dan perbualan” dalam keluarga ketika dia mengandung Archie tentang warna kulit bayi itu. Ibu Meghan berkulit hitam dan bapanya berkulit putih. – Agensi

Berita berkaitan
Putera Charles jadi Raja baharu serta merta ganti Ratu Elizabeth II
September 9, 2022· Dunia
Ratu Elizabeth II disahkan meninggal dunia pada usia 96 tahun
September 9, 2022· Dunia
Rusia kemaskini senarai nama sekatan, bekas PM Britain disenarai hitam
August 2, 2022· Dunia
PM baharu UK diumum pada September selepas Boris letak jawatan
July 12, 2022· Dunia
Popular
Biden tersungkur pada majlis konvokesyen tentera udara
June 2, 2023
Penahanan Imran Khan tidak sah, kata Mahkamah Agung
May 12, 2023
Lagi Dunia terkini
Biden tersungkur pada majlis konvokesyen tentera udara
June 2, 2023 · Dunia
Erdogan pertahan jawatan Presiden Turkiye
May 29, 2023 · Dunia
Montana jadi negeri pertama di Amerika haramkan TikTok
May 18, 2023 · Dunia
Selepas kalah PRU, PM Thailand janji akan berundur secara baik
May 16, 2023 · Dunia
Rakyat Thailand mula mengundi hari ini
May 14, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Gombak Setia jadi perhatian Anwar Ibrahim
5 minit lalu
[VIDEO] Zahid sebak laungan bebas Bossku bergema depan Anwar
June 9, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok