
Kebakaran besar berlaku di sebuah depot minyak Arab Saudi di Jeddah tidak jauh dari litar lumba F1, selepas diserang pengganas Houthi Yaman menggunakan roket dan dron, semalam. - Gambar ArabNews
Formula Satu berkata perlumbaan di Jeddah, Arab Saudi akan diteruskan seperti yang dijadualkan hujung minggu ini walaupun bandar pelabuhan itu berdepan serangan oleh pengganas Syiah Houthi Yaman.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Houthi menyerang depoh minyak yang terletak kira-kira 11 kilometer dari litar F1. Semua 20 pemandu bertemu beberapa kali pada malam Jumaat dalam perbincangan yang berlangsung hingga jam 2 pagi untuk membincangkan kebimbangan keselamatan.
“Formula 1 dan (badan induk) FIA mengesahkan bahawa selepas perbincangan dengan semua pasukan dan pemandu, Grand Prix Arab Saudi Formula 1 FIA 2022 akan diteruskan seperti yang dijadualkan.
“Berikutan insiden yang dilaporkan berlaku di Jeddah pada Jumaat, terdapat perbincangan yang meluas antara semua pihak berkepentingan, pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi dan agensi keselamatan yang telah memberi jaminan penuh dan terperinci bahawa acara itu selamat,” kata F1 dalam satu kenyataan pada Sabtu.
F1 menambah bahawa ia telah dipersetujui “dengan semua pihak berkepentingan untuk mengekalkan dialog yang jelas dan terbuka sepanjang acara dan untuk masa depan.”
Terdapat sesi latihan ketiga dan terakhir pada Sabtu yang dijadualkan bermula jam 5 petang.
Depoh minyak Jeddah terbakar apabila diserang semasa sesi latihan pertama perlumbaan pada Jumaat. Ia menyebabkan kebakaran besar hingga pemandu mengadakan perbincangan luar biasa mengenai kehadiran F1 di Arab Saudi.
Pemandu Formula Satu pada Sabtu berkata mereka akan berlumba selepas perbincangan panjang dan jaminan daripada menteri kerajaan Arab Saudi bahawa keselamatan dipertingkatkan secara maksimum susulan serangan ke atas kemudahan minyak berhampiran litar Jeddah.
Semalam, kebakaran besar dilaporkan di sebuah depot minyak Aramco Arab Saudi di Jeddah, kira-kira 86 kilometer dari Tanah Suci Makkah, semalam, dengan pengganas Syiah Houthi mengaku melancarkan serangan roket dan dron.
Media kerajaan Arab Saudi pada Jumaat melaporkan rentetan serangan dron dan roket oleh pengganas Houthi yang disokong Iran di Yaman dan kepulan asap hitam yang besar dilihat di Jeddah yang bakal menjadi tuan rumah Formula Satu pada Ahad. – Agensi