
Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe hari ini (13 Julai 2022) mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta. - Gambar AA
Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe dalam peranannya sebagai pemangku presiden, selepas Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke Maldives hari ini, mengisytiharkan darurat, sekali gus membawa kepada lebih banyak protes di tengah-tengah krisis ekonomi negara itu.
“Perdana menteri sebagai pemangku presiden telah mengisytiharkan darurat (di seluruh negara) dan mengenakan perintah berkurung di wilayah barat,” kata Setiausaha Media Wickremesinghe, Dinouk Colombage, kepada Reuters.
Darurat dan perintah berkurung itu berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, media melaporkan arahan itu tidak dipedulikan sambil menyaksikan penunjuk perasaan berarak ke pejabat Perdana Menteri, mendesak beliau meletak jawatan, menyusul berita mengatakan Rajapaksa telah berlepas ke Maldives.
Penunjuk perasaan memecah penghadang walaupun pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata, sebelum menyerbu pejabat perdana menteri, menuntut peletakan jawatannya.
Wickremesinghe berkata beliau bersedia meletak jawatan dan memberi laluan kepada kerajaan semua parti untuk mengambil alih.
Pada Sabtu, Rajapaksa mengumumkan untuk meletak jawatan hari ini (13 Julai 2022) selepas beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya, menyalahkannya atas krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang telah menyebabkan negara itu muflis.
Parti politik Sri Lanka telah meningkatkan usaha untuk membentuk kerajaan gabungan semua parti dan seterusnya memilih Presiden baharu pada 20 Julai untuk mengelakkan negara muflis itu terus tergelincir ke dalam anarki.
Di bawah Perlembagaan Sri Lanka, jika kedua-dua presiden dan perdana menteri meletakkan jawatan, Speaker Parlimen akan berkhidmat sebagai pemangku presiden selama maksimum 30 hari.
Parlimen akan memilih presiden baharu dalam tempoh 30 hari daripada salah seorang ahlinya, yang akan memegang jawatan itu untuk baki dua tahun akan datang.
Penunjuk perasaan antikerajaan terus menduduki tiga bangunan utama di ibu negara, Istana Presiden, sekretariat presiden dan kediaman rasmi perdana menteri, Temple Trees.
Sri Lanka, sebuah negara dengan 22 juta penduduk, berada di bawah cengkaman kegawatan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang paling teruk dalam tujuh dekad, menyebabkan berjuta-juta orang bergelut untuk membeli makanan, ubat, minyak dan keperluan lain.
Wickremesinghe minggu lalu berkata Sri Lanka kini sebuah negara muflis. – Agensi