Peraturan baharu batal program vaksin berbayar akan diterbitkan

Indonesia memulakan program vaksinasi berbayar mulai 12 Julai 2021. Bagaimanapun beberapa jam kemudian program itu dibatalkan. - Gambar AFP

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia akan mengeluarkan peraturan baharu bagi membatalkan secara rasmi program vaksinasi berbayar baru-baru ini, kata jurucakapnya Siti Nadia Tarmizi.

Sebelum ini Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi mengarahkan program berkenaan dibatalkan susutan rungutan oerang ramai dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

12 Julai lalu pemerintah Indonesia menerusi anak syarikat berkaitan kerajaan memulakan program ‘vaksin berbayar’ dalam usaha negara itu memperluaskan program vaksinasi kepada 270 juga rakyatnya.

Program yang mendapat tentangan Gabungan Masyarakat Awam itu, dilaksanakan syarikat farmasi negara PT Kimia Farm sebagai sebahagian daripada program yang dikenali sebagai ‘Program Vaksinasi Gotong Royong’.

Program Vaksinasi Gotong Royong itu menggunakan vaksin Sinopharm sementara program kerajaan menggunakan Sinovac dan AstraZeneca.

Harga yang ditetapkan adalah sama dengan yang ditawarkan pihak swasta dan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Republik Indonesia.

Siti Nadia bagaimanapun tidak mengulas secara terperinci bila peraturan baharu membatal program vaksinasi berbayar itu akan dikeluarkan.

Setiausaha Kabinet, Pramono Anung sebelum ini memaklumkan bahawa Presiden mahu program vaksin berbayar ini diberhentikan setelah mendapat maklum balas daripada orang ramai. – Agensi

POPULAR