
Agensi Tenaga Sweden mengeluarkan amaran awal kekurangan bekalan gas akibat perang Russia-Ukraine. - Gambar AFP
Agensi Tenaga Sweden (SEA) semalam (21 Jun) memberi “amaran awal” peringkat pertama berhubung bekalan gas yang mungkin terjejas akibat pengurangan import dari Russia akibat perang di Ukraine.
Amaran itu, yang melibatkan barat Sweden, berikutan perisytiharan serupa oleh Denmark pada Isnin.
“Sweden dan Denmark mempunyai pasaran gas bersama dan zon pengimbangan bersama di mana situasi bekalan Denmark adalah sangat penting untuk Sweden,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
“Oleh itu Agensi Tenaga Sweden telah memutuskan untuk mencerminkan keputusan Denmark pada tahap krisis,” tambahnya.
Kesatuan Eropah (EU) telah mewujudkan sistem untuk membolehkan negara anggota memaklumkan kesukaran bekalan tenaga yang akan berlaku menggunakan tiga tahap amaran menaik – bermula dengan “amaran awal”, diikuti dengan “amaran”, kemudian “kecemasan”.
Sistem ini membenarkan bantuan bersama dari negara EU yang lain, tetapi membawa maksud permulaan catuan bekalan.
SEA juga menyatakan bahawa “situasi bekalan gas di Sweden masih kukuh”, dan stok simpanan di Sweden, Denmark dan Eropah “tersedia dengan baik menjelang musim luruh”.
Syarikat tenaga Denmark, Orsted mengumumkan pada penghujung Mei bahawa penghantaran gas Russia ke negara Scandinavia itu akan digantung mulai 1 Jun, selepas Orsted enggan menjelaskan pembayaran dalam rubel.
Pada Isnin, Belanda mengumumkan akan menarik balik sekatan ke atas penjanaan tenaga arang batu, sehari selepas Jerman dan Austria mengambil langkah yang sama untuk mengurangkan pergantungan mereka kepada bekalan gas Russia. – Agensi