Perancis usir enam warga Rusia disyaki pengintip

Enam warga Rusia disingkir Perancis selepas disyaki menjalankan tugas sebagai pengintip di bawah program perlindungan diplomatik.

Pendedahan itu diperoleh hasil daripada siasatan perisikan yang berjaya mengesan terdapat operasi rahsia dijalankan pengintip Rusia tersebut, kata Kementerian Luar Perancis.

“Enam ejen Rusia beroperasi di bawah perlindungan diplomatik, didapati aktivitinya bertentangan dengan kepentingan negara kita, sudah diisytiharkan sebagai persona non grata,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Kenyataan itu juga berkata perkhidmatan perisikan domestik DGSI mendapati pada 10 April, selepas satu siasatan yang panjang berjaya mengesan “operasi sulit dijalankan perkhidmatan perisikan Rusia di wilayah kami”.

Kementerian tidak memberikan butiran mengenai operasi itu.

Dalam tweet, Menteri Dalam Negeri Perancis Gerald Darmanin berkata DGSI “berjaya menggagalkan rangkaian ejen rahsia Rusia yang bekerja bertentangan dengan kepentingan kami”.

Darmanin berkata DGSI menjalankan “operasi intipan balas yang luar biasa” dan memuji organisasi itu.

Untuk rekod, Perancis pada 4 April mengumumkan pengusiran 35 diplomat Rusia sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Enam warga Rusia yang disyaki pengintip diusir tersebut adalah tambahan kepada 35 orang yang diusir sebelum ini, kata kementerian kepada AFP.

BERITA BERKAIT
POPULAR