Perancis bakal berdepan gelombang keenam Covid-19 Januari

Perancis mungkin telah mencapai kemuncak gelombang kelima Covid-19, kata Menteri Kesihatannya, Olivier Veran, ketika pakar kesihatan mula menjangkakan permulaan gelombang keenam pada Januari.

“Nampaknya kita telah mencapai kemuncak wabak… kemuncak yang sangat tinggi… 50,000 jangkitan setiap hari sekarang. Ia adalah yang tertinggi yang kita alami sejak permulaan wabak itu,” kata Veran kepada Parlimen Perancis.

Katanya krisis kesihatan di negara itu berkemungkinan bertambah buruk dengan jangkaan peningkatan kemasukan ke hospital dalam tempoh dua minggu akan datang.

Kebimbangannya disuarakannya di tengah-tengah pengesanan kes varian Omicron, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan mampu menular dengan pantas.

Bercakap kepada agensi berita FranceInfo, jurucakap kerajaan Perancis, Gabriel Attal mengesahkan 133 kes varian Omicron telah dikenal pasti setakat ini dan mungkin terdapat lebih banyak lagi.

Walaupun angka ini lebih rendah daripada jumlah kes di United Kingdom (UK), di mana varian bertanggungjawab untuk 40 peratus daripada kes Covid-19, pakar percaya Perancis boleh mengalami situasi sama dalam beberapa minggu mendatang.

Serentak itu, Perancis mempertimbangkan untuk mengetatkan kawalan terhadap pengembara dari Britain, di mana varian Omicron menular kelihatan semakin cepat merebak, kata Attal.

“Mengenai Britain, peraturan semasa ialah menunjukkan ujian negatif kurang daripada 48 jam untuk memasuki Perancis,” katanya.

Pakar Epidemiologi Pascal Crepey berkata Omicron merebak lebih cepat daripada varian Delta dan menjejaskan populasi yang dipercayai kebal sehingga kini.

“Memandangkan varian itu sudah ada di negara ini, tiada sebab untuk membayangkan bahawa apa yang berlaku di UK tidak akan berlaku di sini,” katanya di BFMTV.

Ketua Pengarah Bantuan Awam – Hospital Paris (AP-HP), Martin Hirsch dalam temu bual dengan berita RTL berkata gelombang Covid-19 keenam akan bermula pada Januari.

Walaupun kadar vaksinasi di Perancis tinggi, orang ramai mesti mengekalkan kewaspadaan ketika pertemuan keluarga dan perhimpunan musim cuti dan perayaan Tahun Baharu kerana jika tidak, hospital akan menjadi terlalu sesak, katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR